“Ibu Bapa Ikut Sop Masa Hantar Anak Ke Sekolah, Lepas Sekolah Berebut Nak Cari Anak SOP Jadi Huru-Hara”

HARI pertama sesi persekolahan dibuka pada awalnya tampak teratur dengan ibu bapa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, namun situasi bertukar menjadi ‘huru-hara’ ketika waktu balik sekolah.

Keadaan tidak terkawal berlaku apabila ramai bapa bersesak-sesak di pintu keluar sekolah untuk menjemput anak mereka.

Tinjauan Malaysiapost di sebuah sekolah di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh tengah hari tadi mendapati ibu bapa dan penjaga dilihat seperti tidak menghiraukan SOP terutama penjarakan fizikal ketika menunggu di luar sekolah untuk mengambil anak.

Keadaan tambah sesak apabila pintu kecil sekolah terbabit yang dijadikan laluan utama untuk murid Tahun Satu keluar selepas selesai sesi pagi, juga menjadi laluan masuk bagi murid Tahun Dua pada sesi petang.

Pengusaha van sekolah yang menunggu untuk mengambil murid juga dilihat menghadapi kesukaran kerana keadaan terlalu sesak.

Beberapa guru dan pengawal keselamatan sekolah kelihatan bertungkus-lumus menguruskan proses pelepasan keluar murid-murid berkenaan.

Turut kelihatan beberapa anggota polis bagi membantu mengawal keadaan.

Difahamkan situasi sama berlaku di kebanyakan sekolah yang mempunyai bilangan murid Tahun Satu dan Tahun Dua yang ramai hari ini.

Keadaan ini dikhuatiri boleh mengakibatkan penularan wabak Covid-19 dan lebih membimbangkan ia membabitkan murid sekolah.

Jika langkah segera tidak diambil bagi menangani masalah ini sudah pasti keadaan akan bertambah teruk apabila lebih ramai murid akan ke sekolah minggu depan dan tidak mustahil sekolah terpaksa ditutup semula

kredit Malaysiapost

Artikel Berkaitan   Kali Terakhir Dilihat 9 Malam, Ibu Bapa Ini Terkejut Menemukan Anaknya Mat* Gantung Diri Keesokannya