“Memang Arwah Pada Hari Itu Lebih Banyak Menyendiri Dan Diam” Rakan Dedah Tanda-Tanda Mangsa Nahas Jejambat Akan “Pergi”

Kuala Lumpur: “Arwah berubah jadi pendiam dan lebih banyak termenung. Mungkin itulah petunjuk dia akan meninggalkan kami selama-lamanya,” kata Rashidah Ibrahim, 54, mengenai rakan baiknya Nor Hayati Abdullah.

Nor Hayati, 42, adalah seorang daripada dua mangsa maut dalam kejadian jejambat Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang dalam pembinaan runtuh menimpa van pekerja dinaiki lima individu termasuk pemandu ketika melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada 5.58 petang, semalam.

Rashidah berkawan rapat dengan arwah sejak 10 tahun lalu selain bekerja bersama di sebuah kilang elektronik di Subang Mewah, Selangor.

Menurutnya, rakan sekerja lain turut mengakui perasan dengan perubahan arwah yang sebelum ini ceria dan suka mengusik.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah pada Selasa malam semasa bekerja. Memang arwah pada hari itu lebih banyak menyendiri dan diam.

“Saya rasa pelik juga kerana kebiasaannya dia banyak bercakap dan akan mengusik sesiapa saja yang bekerja dengannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini, hari ini.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa lima rakan sekerjanya lebih-lebih lagi apabila mengetahui arwah terkorban dalam kemalangan itu.

Sementara itu, kakak arwah Maslinawati, 43, berkata, jenazah adiknya akan dibawa ke Sungai Besar, Selangor, untuk pengebumian sebaik selesai urusan bedah siasat.

“Buat masa ini, kami masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat boleh dilakukan,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, sebuah treler membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan SUKE, menyebabkan berlaku runtuhan dan menghempap sebuah van pekerja.

Dua wanita pekerja kilang maut manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van itu cedera.

Artikel Berkaitan   Selepas Bercerai 41 Tahun Yang Lalu, Cinta Pasangan Ini Berputik Semula Selepas Berlaku Perkara Yang Tidak Diduga

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dalam kenyataan hari ini mengesahkan pemandu treler itu positif dadah.

kredit harian metro