Saranan itu diberikan pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias yang memuji usaha dilakukan Ebit kerana memberikan inspirasi kepada semua orang untuk membantu golongan susah. Menurutnya, segala yang berlaku kepada Ebit merupakan satu ujian daripada ALLAH untuk menguji keimanan dan meningkatkan darjat hamba-NYA.
“Apa yang dilalui oleh Ebit Lew saya telah lalui dan ia memang sesuatu yang menyedihkan perasaan. Saya pernah disantau, dihentam dan diboikot. Namun ujian tersebut ada hikmahnya dan menghasilkan sesuatu yang baik termasuklah dengan penubuhan Pusat Pendidikan Al-Barakah.
“Saya harap Ebit Lew jangan patah hati dan teruslah membantu orang ramai. Nasihat saya, kalau orang hentam kita, nabi lagi teruk kena hentam. Apa yang berlaku ini ALLAH nak uji kita dan nak tunjuk siapa kawan dan siapa lawan sebenar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Ebit Lew untuk berehat daripada memberi bantuan secara langsung kepada golongan yang memerlukan itu. Sementara itu, Mohd Kazim turut kesal dengan sikap pihak tertentu yang bertindak menghina dan memperlekeh usaha dilakukan oleh Ebit. Ujar beliau, sebarang teguran yang mahu dibuat perlulah secara berhemah dengan menggunakan bahasa yang baik tanpa menggores perasaan mana-mana pihak.
“Janganlah guna media sosial untuk tibai Ustaz Ebit Lew, ini saya rasa tak kena. Ustaz sama ustaz sepatutnya tolong-menolong. Kalau kata tak betul, tak kena cara dalam menyampaikan bantuan, pergilah minum-minum slow talk. Tak payahlah menghangatkan keadaan.
“Saya lihat ada yang buat video memperli orang yang dapat bantuan, memperli ustaz yang beri bantuan pun tak sepatutnya dibuat, patutnya usaha-usaha baik membantu masyarakat ini diberikan sokongan supaya lebih ramai akan ikut,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Kazim turut mengingatkan pada pendakwah supaya berhati-hati dalam memberikan bantuan dan sumbangan yang kemudian dipamerkan di media sosial kerana tindakan itu boleh mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen. Katanya, sebarang bantuan atau sumbangan yang mahu disalurkan perlu dilihat dari pelbagai sudut termasuk mendapatkan pandangan pihak berkuasa seperti Baitulmal dan pusat zakat.
Jelasnya, tindakan itu wajar kerana terdapat segelintir individu yang suka mengambil kesempatan semata-mata mahukan bantuan. “Saya mengambil contoh pengalaman di Al-Barakah sendiri dalam memberikan sumbangan kerana banyak yang kita jumpa mereka ini tidak susah pun dan sengaja memperlihatkan kesusahan sebab hendakkan bantuan.
“Ada yang bila kita rujuk Baitulmal kenapa tak bantu, rupanya bila disiasat orang ini ada tanah dan harta yang banyak dan tak layak terima bantuan walaupun tengok keadaannya macam orang susah,” katanya. Beliau berkata, tindakan membantu orang ramai dan memaparkannya di media sosial bukanlah satu kesalahan namun apabila netizen mula mempersoalkan peranan pihak lain, itu menjadi masalah dan menggores perasaan pihak-pihak tertentu.
kredit khalifah media network