Graduan Terkejut Selepas Habis Majlis Konvokesyen Dapat Hadiah Buah Nenas, Ini Reaksinya Sebaik Ia Berlaku

Majlis konvokesyen sememangnya merupakan satu acara yang paling dinanti-nantikan oleh setiap penuntut institusi pengajian tinggi bagi menandakan setiap penat lelah dan halangan dihadapi dalam menuntut ilmu adalah berbaloi. Setiap kali tiba musim bergraduasi juga, pastinya akan timbul kisah-kisah lucu dan sukar dilupakan yang akan sentiasa menjadi kenangan serta terpahat di dalam minda mereka yang terlibat.

Itulah yang terjadi kepada seorang graduan Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Shima Sahimi, 24, yang dikejutkan dengan hadiah sebiji buah nanas sebaik majlis konvokesyennya berakhir semalam. Menurut Nur Shima, buah nanas tersebut adalah pemberian ibunya yang amat tidak dijangka namun disambut dengan hati yang terbuka serta gelak ketawa mereka sekeluarga.

“Buah nanas ini pada awalnya emak belikan untuk diberikan kepada kakak saya sebagai menu bahan masakan namun tak jadi digunakan sebab kakak masak menu yang lain. Tak mahu membazir, emak bawa buah nanas ini bersama ke majlis konvokesyen saya semalam (Isnin).

“Selesai majlis di dalam dewan, emak minta saya ambilkan buah nanas tersebut dalam kereta dan berikan kepada saya. Sebagai kenangan, kakak yang turut bersama ambilkan gambar saya bersama buah nanas pemberian emak. Masa emak cakap nak beri buah nanas tu saya gelak sahaja ingatkan emak bergurau,” katanya. Dalam pada itu, Nur Shima turut mengucapkan ribuan kesyukuran kerana dapat menghadiri majlis konvokesyen walaupun mengikut normal baharu iaitu secara janji temu dan bukan seperti majlis sebelum negara dilanda Covid-19.

“Alhamdulillah, dapat juga saya dan rakan-rakan lain berkonvokesyen walaupun tiada majlis seperti kebiasaannya dan saya rasa tiada masalah dengan pelaksanaan majlis konvokesyen secara janji temu kerana ibu-bapa tidak perlu menunggu lama. Pelaksanaan setiap sidang juga tidak mengambil masa yang lama dan proses pengambilan gambar graduan menggunakan skrin hijau juga cepat serta tidak perlu bersesak-sesak,” jelasnya.

Artikel Berkaitan   “Teruskan istiqamah…” – Safiey botakkan kepala demi tunai janji pada Allah

Susulan penularan Covid-19, USIM menangguhkan pelaksanaan majlis konvokesyen yang kebiasaannya dilaksanakan pada bulan November ke tahun ini iaitu pada 6 April lalu hingga 18 April ini yang melibatkan 23 sidang secara keseluruhannya. Dilaksanakan secara janji temu, bilangan graduan dan ahli keluarga yang dibenarkan berada di dalam dewan juga dikecilkan sebagai langkah pencegahan jangkitan dan penularan Covid-19

kredit kosmo