Teruk Dikecam Netizen Gara-Gara Didakwa Langgar SOP, Ini Jawapan Balas Siti Nurhaliza

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa tampil memohon maaf dengan penganjuran majlis tahnik anak lelaki mereka, Muhammad Afwa pada 26 April lalu yang menjadi perbualan hangat warganet.

Pasangan itu menekankan, mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pelbagai dakwaan berlaku seperti perlanggaran SOP dengan kehadiran seorang pendakwah dari luar Kuala Lumpur ke majlis itu tetapi pasangan itu menjelaskan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku.

“Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan,” kata Siti Nurhaliza dan Khalid dalam kenyataan bersama yang diedarkan pada Isnin.

Tambahnya lagi, atur cara dan bilangan tetamu yang diundang, mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti yang ditetapkan. Malah, majlis itu terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ke-7 mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Acara tahnik yang berlangsung di sebelah siang dengan kehadiran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

“Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain,” ujarnya. Siti Nurhaliza dan Khalid menjelaskan kenyataan mereka itu bukanlah bertujuan untuk mempertahankan diri.

“Penjelasan ini bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

“Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan,” katanya lagi. Tambahnya, penjelasan ini merupakan kenyataan terakhir mereka dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik.

Artikel Berkaitan   “Pengorbanan Umno Memberikan Kerusi Terkuatnya Kepada Parti Tertentu Telah Menjejaskan Kekuatan…”

kredit zayan