Ciapan seorang pelajar dalam kuarantin di Twitter yang terharu dengan jiran-jiran berbangsa Cina yang menawarkan bantuan untuk belikan barang dapur telah menyentuh hati ramai warganet.
Pada 8 Mei lepas, seorang pelajar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas Cheras telah berkongsi dua gambar dari dua jirannya yang ingin memberikan bantuan.
Kedua-dua jirannya itu bertanya jika dia dan kawan serumahnya yang sedang menjalani kuarantin perlukan sebarang pertolongan.
Tweet tersebut telah menerima lebih dari 13 ribu retweets dan hampir 33 ribu likes setelah tular sejak sabtu lepas.
Pelajar berkenaan dan rakan serumahnya yang tinggal di kondominium di KL telah menjalani kuarantin sejak 4 Mei lagi.
Menurut Malay Mail, mereka dikuarantin sebagai kontak rapat setelah salah seorang kawan serumah mereka disahkan positif COVID-19.
Didapati, kawannya yang dijangkiti virus itu telahpun dihantar ke pusat kuarantin MAEPS di Serdang.
“Pihak pengurusan kondominium kami tidak benarkan kami untuk keluar kerana ia merupakan rikiso kepada penduduk yang lain.
Mereka juga telah memberitahu kepada jiran-jiran mengenai situasi kami,” ujar pelajar itu kepada portal berita tersebut.
Sumber: Twitter (@danialshazimi)
“Sekarang kamu semua sedang kuarantin, macam mana nak pergi beli makanan? Kalau nak pertolongan, bagitahu. Saya sudi menolong ya.
Kamu semua masak sendiri kan? Apa yang tak cukup, hanya bagitahu.” nyata salah seorang jirannya.
Sehari selepas itu, penghuni rumah berkenaan telah menerima sekeping nota tulisan tangan daripada jirannya yang lain.
Mengenalkan dirinya sebagai Aunty, dia bertanya jika mereka perlukan pertolongan untuk membeli barang dapur kerana dia akan ke pasar raya pada Isnin, 10 Mei.
Sumber: Twitter (@danialshazimi)
Pelajar berumur 23 tahun itu berkata mereka tidak menyangka jiran-jiran mereka sebegini baik kerana mereka hanya bersua ketika dalam lif.
Portal berita itu juga melaporkan bahawa pelajar-pelajar tersebut telah menerima lemang dan kuih raya daripada keluarga.
Pihak institusi juga telah memberikan bantuan keperluan asas sepanjang mereka menjalani kuarantin.
Pelajar berkenaan menambah, salah seorang jiran yang menghubunginya juga ingin membelikan mereka juadah raya sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
kredit i am lejen