“Janganlah Asyik Nak Tuding Jari Pada Perempuan Sahaja” Pakar Dedah Mungkin Poligami Punca Wanita Diserang [email protected] Pangkal Rahim

MUNGKIN ada menyifatkan poligami itu manis, namun dalam kemanisan ‘madu’ itu terselit pahit yang kadangkala sukar diterjemah dengan kata-kata.

Ingat ya, hidup berpoligami bukan sekadar berkongsi suami dan membahagi kehidupan seharian bersama insan ketiga (keempat dan seterusnya), malah ia boleh membawa kesan buruk sampingan terhadap kesihatan.

Acap kali bercerita tentang kanser pangkal rahim situasi menjadi tegang kerana penyakit tersebut sering dikaitkan dengan tabiat seksual rambang diamalkan sesetengah individu.

“Sebenarnya, persepsi ini yang perlu diperbetulkan oleh masyarakat. Walaupun mempunyai satu pasangan sahaja, anda masih berisiko mendapat jangkitan Human Papillomavirus (HPV) yang boleh mengakibatkan kanser pangkal rahim,” kata Dr Ahmad Zailani Hatta Mohd Dali.

Beliau merupakan Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan (Kanser Ginekologi) di Hospital Pantai Kuala Lumpur. Tambahan pula, bagi sesebuah keluarga yang mengamalkan poligami atau pernah bercerai dan berkahwin semula.

Menurut Dr Ahmad Zailani Hatta, masyarakat perlu mengetahui bagaimana boleh berlakunya jangkitan HPV. Secara amnya, virus tersebut adalah sejenis bendasing yang boleh menjangkiti tidak kira lelaki atau perempuan.

“Sebenarnya tubuh kita boleh melawan jangkitan HPV secara semula jadi sekiranya mempunyai sistem imun yang kuat.

Namun, apabila jangkitan ini berlaku berulang-kali, maka kebarangkalian untuk ia bermutasi menjadi kanser adalah sangat tinggi.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan masyarakat sering menuding jari kepada kaum Hawa yang menghidap kanser pangkal rahim.

“Ramai menganggap pesakit kanser pangkal rahim mempunyai tabiat seksual seperti terlalu aktif dan kerap bertukar pasangan,” jelas Dr Ahmad Zailani Hatta.

Bicara beliau, kadang-kala golongan lelaki tidak menyedari mereka juga antara pembawa virus HPV.

“Hanya kerana mereka tidak mempunyai rahim seperti wanita, maka mereka tidak menghidap kanser pangkal rahim.”

Artikel Berkaitan   Siti Nurhaliza Buat Kejutan Di AJL34, Peminat Marah Mic Tak Berfungsi

Sehubungan itu, Dr Ahmad Zailani Hatta turut mengingatkan kepada masyarakat baik yang sudah berkahwin mahupun tidak, asalkan individu tersebut mengadakan hubungan seks, risiko jangkitan HPV adalah tinggi.

“Begitu juga dengan keluarga mempunyai lebih daripada satu isteri. Sekiranya salah seorang isteri menghidap penyakit kanser pangkal rahim, kebarangkalian isteri lain menghidapnya juga agak tinggi kerana suami bertindak sebagai pembawa virus tersebut.

“Oleh itu, janganlah kita hanya menuduh orang lain mempunyai hubungan seks rambang apabila mereka menghidap kanser tersebut. Tuduhan terbabit menunjukkan betapa kurangnya pengetahuan kita tentang kanser pangkal rahim,” tambahnya.

Selain itu, Dr Ahmad Zailani Hatta memberitahu, bagi pasangan monogami tanpa mempunyai hubungan seksual dengan orang lain selain suami isteri juga boleh dijangkiti HPV kerana sifat virus tersebut boleh didapati di sekeliling.

 

Ini termasuklah pada tangan, pakaian dan permukaan benda.

“Pokoknya apabila virus tersebut terdedah pada pangkal rahim wanita, ia boleh berkembang menjadi kanser pada masa hadapan. Kita perlu faham, kanser pangkal rahim sejenis penyakit yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk bermutasi.

“Sebab itu apabila seorang wanita sudah berumahtangga, doktor sakit puan akan menyarankan menjalani ujian pap smear setiap tiga tahun apabila ujian pertama jelas menunjukkan keputusan smear yang normal,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kebarangkalian untuk dijangkiti HPV walaupun menggunakan kondom apabila mengadakan hubungan intim adalah lebih tinggi berbanding HIV.

“HIV tersebar menerusi bendalir dalam badan, HPV pula tersebar menerusi sentuhan. Sebab itu, saya berharap masyarakat dapat memahami konsep ini dan tidak membuat andaian apabila ada wanita yang mereka kenali menghidap kanser pangkal rahim. Perbezaan antara dua virus ini (HIV dan HPV) adalah HPV masih boleh dibendung dengan suntikan vaksinasi”.

Artikel Berkaitan   “Mak, Sini La kantin.. Mak, Ni Padang” Murid Tahun 1 Ini Teruja Pimpin Tangan Ibu Bapa Cacat Penglihatan Lawat Sekolah

Suntikan vaksinasi HPV lazimnya diberikan sebanyak tiga dos dalam tempoh enam bulan untuk melengkapkan antibodi wanita melawan virus tersebut.

“Kita sebagai rakyat Malaysia dianggap bertuah kerana kerajaan menggalakkan suntikan vaksinasi tersebut diberikan kepada pelajar perempuan sejak usia persekolahan.

 

 

“Ada negara Barat seperti Australia mewajibkan vaksinasi HPV kepada pelajar lelaki dan perempuan dalam usaha mengawal risiko kanser berpunca daripada HPV. Ada juga negara lain yang tidak mempunyai program vaksinasi seumpama ini.

“Sebab itu, kita perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan Malaysia boleh menjadi negara yang sifar kanser pangkal rahim pada masa akan datang,” kata Dr Hatta.

Selain daripada kanser pangkal rahim, HPV juga boleh menyebabkan kanser lain termasuk kanser alat kelamin dan kanser hidung atau nasopharyngeal yang mencatatkan bilangan tinggi dalam kaum lelaki Cina di negara ini.

kredit sinarplus