Selepas sebulan lebih menyepi, penyanyi rap Caprice seolah-olah membuat kejutan apabila dikhabarkan sudah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hatinya.
Menerusi satu posting di laman Instagram Jabatan Netizen Negara, hasil ‘siasatan’ mendakwa Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkahwin dengan ibu tunggal anak satu yang bernama Farra Inalis.
Posting itu berkongsi dua tangkapan skrin daripada InstaStory @farra_inalis yang memperlihatkan wanita tersebut mengenakan busana pengantin baharu sama seperti persalinan Caprice bersama isterinya.
Malah, wanita yang dikatakan berusia 26 tahun dan berasal dari Kelantan itu juga berkongsi InstaStory memaparkan seorang kanak-kanak perempuan memakai gaun berwarna putih dipercayai anaknya Aleesya Sofea.
‘My beautiful daughter’
‘New life, new chapter’
Selain itu, salah satu platform bisnes Caprice iaitu @signbycap turut berkongsi InstaStory memaparkan penyanyi berusia 33 tahun itu ‘berposing’ romantis dengan isterinya yang kelihatan mirip seperti wajah Farra Inalis.
Kemas kini terbaharu
Menerusi kemas kini terbaharu di laman Instagram, Caprice mengakui sudah bergelar suami kepada Farra Inalis selain memohon maaf kerana lama ‘menghilangkan’ diri dan akan berkongsi cerita apa yang berlaku dalam masa terdekat.
Sumber: Instagram Jabatan Netizen Negara & Farra Inalis