Asid glutamik bebas terdapat banyak dalam aditif makanan. Bahasa terkenalahnya adalah MSG (monosodium glutamate). MSG dikatakan sebagai salah satu penyedap rasa yang kelima.
Tapi di sini bukanlah saya nak bercerita tentang kesedapan perasa MSG. Masih tertakluk kepada cerita tanaman.
Hal ini berkaitan penggunaan MSG sebagai salah satu penggalak tanaman. Penggalak tanaman berfungsi memberi ‘booster‘ kesuburan pokok selepas baja.
Cuma ada satu isu berkenaan MSG yang berlegar di ruang Internet yang perlu kita ketahui.
Penggalak Tanaman – AuxiGro
Pada tahun 1998, sebuah syarikat Amerika telah mengeluarkan sebuah produk pertanian berasaskan MSG (monosodium glutamate) sebagai bahan utama. Produk itu dinamakan AuxiGro dan dilabelkan sebagai ‘plant booster’ (penggalak tanaman). Tumbuhan yang disembur AuxiGro akan membesar dua hingga lima kali ganda berbanding tumbuhan yang tidak disembur AuxiGro .
MSG dalam AuxiGro menjadikan tumbuhan yang disembur signal palsu yang ia dalam keadaan ‘stres’. Tumbuhan bertindak balas dengan menyerap dan mengeluarkan nutrien tambahan di dalam tanah. Kesannya ia mengeluarkan pucuk baru, dan saiz batang, daun dan buahnya menjadi berganda besar.
Bahan MSG Alternatif – Ajinomoto
Walaupun kita tidak dapat membeli AuxiGro, kita boleh menggunakan jenama alternatif iaitu Ajinomoto. Ajinomoto memang terkenal di kalangan rakyat Malaysia sebagai bahan penyedap rasa kaya dengan MSG.
Menurut netizen (pengguna Internet) apabila pokok disembur MSG, akan menghasilkan kesan yang bagus. Terutama pada pokok yang susah nak berbunga. Dedaun sayur pula akan membesar dua tiga kali ganda saiznya. Kesan sama dengan AuxiGro.
Bancuhan Ajinomoto Untuk Tanaman Pokok
Terdapat dua kaedah.
Kaedah pertama:
Sukatan:
1 sudu teh (5 g) Ajinomoto per pasu
Tabur terus ajinomoto sebagai penggalak tanaman di sebelah pokok. Kemudian siram dengan air.
Kaedah kedua:
Sukatan:
Pokok kecil – 1 sudu makan (15 g) + 5 L air (seperti sawi, kangkung, bayam, salad, pokok kari, serai, pandan dan lain-lain.)
Pokok besar (umur setahun ke atas) – 5 sudu makan (75 g) + 1 L air (seperti pokok mempelam, pokok rambutan, manggis dan lain-lain.)
Siram keliling pokok dan sembur pada batang dan daun pokok. Kekerapan siraman adalah seminggu sekali.
Kesannya biasa dapat dilihat seminggu selepas penyiraman atau semburan dibuat. Pucuk baru akan mula muncul. Pokok yang tak pernah berbunga akan mula berbunga. Pokok yang hidup segan mati pun segan, pun akan mula menampakkan kecerahan hidupnya. Menakjubkan! Sila cuba cepat!
Eksperimen semburan MSG pada anak pokok delima.
Gambar kiri – anak pokok disembur MSG. Gambar kanan – anak pokok tidak disembur MSG. (sumber Internet)
Ah, bukankah itu memang bagus? Walaupun kita tak makan MSG, sekurangnya ia dapat membantu kita di kebun.
Kesan Buruk MSG Pada Manusia?
Namun begitu, MSG seperti makanan tetap ada isu apabila disembur pada tumbuhan. Jika ditelusuri isu ini, banyak telah dibahaskan di dunia Amerika. Isu ini dibangkitkan oleh kempen ‘Truth In Labelling’.
Persoalannya, apakah salah guna asid glumatik pada tumbuhan? Bukankah asid glutamik ini sejenis asid amino yang juga boleh dijumpai dalam protein? Ini antara jawapan yang dijumpai di website ‘Truth In Labelling‘.
1. Dalam protein, asid amino berada dalam keadaan seimbang. Apabila disembur asid glutamik bebas menyebabkan ketidakseimbangan asid amino dalam tanaman.
2. Yang disembur bukanlah asid glutamik yang dijumpai di dalam protein tetapi produk sintetik (buatan). Selain daripada ‘asid glutamik bebas’ atau ‘asid glutamik-L’ terdapat juga asid glutamik-D, asid pairoglutamik, dan pelbagai bahan kimia lain dilabelkan sebagai ‘pencemar’ oleh industri. Penghasilan asid glutamik bebas di dalam MSG melalui proses kilang yang banyak. Ini berbeza dangan asid glutamik bebas yang dijumpai secara semula jadi di dalam protein yang tiada langsung kandungan tercemar.
3. Sehingga sekarang tiada siapa tahu kesan panjang penyemburan asid glutamik bebas pada tanaman.
4. Penyerapan MSG oleh tumbuhan tak dapat disangkal lagi. Jika tidak masakan tumbuhan boleh membesar dua tiga kali ganda selepas disembur MSG.
5. Sisa lebihan semburan MSG pada tumbuhan tidak dikaji. Kita tidak tahu berapa banyak MSG yang masih kekal pada tanaman selepas disembur. Didapati hanya sedikit MSG dalam masakan sahaja sudah memberi kesan, inikan pula tumbuhan?
6. Asid glutamik bebas diketahui beracun pada sistem saraf. Namun tiada kajian bebas terhadap hawain berkaitan kesan memakan tanaman yang disembur MSG.
Oleh itu, lebih baik kita mengambil langkah selamat. Saya sarankan pekebun bandar untuk tidak menyembur atau menyiram air bancuhan ajinomoto pada tumbuhan yang kita makan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Hanya sembur pada tanaman hiasan seperti bunga ros, adenium, ros jepun, bunga kertas dan lain-lain.
Lagipun kita ada alternatif lain untuk sembur baja seperti baja buah, baja belacan dan kompos. Pilih sahaja, kawan. Tepuk dada tanya selera.
Nota: Alamak!? Saya telah sembur MSG pada tanaman sayur dan buah saya. Macam mana ni? – Eh tak mengapa. Larutan Pak Aji tak memberi kesan mudarat jika termakan sekali dua. Hei, bukan ke saya nampak anda termakan maggi atau di kedai? ?
Sumber:
http://americannutritionassociation.org/newsletter/free-glutamic-acid-msg-sources-dangers
http://www.msgfacts.net/AuxiGro.htm
http://www.msgfacts.net/msgsprayed-3.htm
http://www.idigmygarden.com/forums/showthread.php?t=17535
http://www.truthinlabeling.org/V.RegulatoryHistory.html
http://truthinlabeling.org/msg-objection-s1.html
http://www.naturalhealth365.com/msg.html/
http://forums.gardenweb.com/discussions/2185735/msg-epsom-salts
http://www.greenculturesg.com/forum/index.php?/topic/21956-hey-anyone-tried-fertilizing-your-plants-with-xxx/page__st__60
http://www.thesundayleader.lk/2015/11/08/farmers-using-msg-as-pesticides/
http://www.theguardian.com/lifeandstyle/2005/jul/10/foodanddrink.features3
Sumber: Kebun Bandar