800 Orang Diselamatkan Apabila Kereta Api “Tenggelam” Dan Lautan Banjir Di India

Sejumlah helikopter Tentera Laut India dan perkhidmatan bot kecemasan terpaksa dikerahkan untuk menyelamat lebih 800 orang terpe­rangkap di dalam sebuah kereta api yang terkandas akibat banjir dekat Mumbai semalam.

Kereta api Mahalaxmi Express bertolak dari Mumbai ke Kolhapur petang kelmarin, namun hanya sempat bergerak sejauh 60 kilometer dan terkandas selepas air melimpah keluar dari sebatang sungai lalu menenggelamkan rel landasan. India dilanda hujan monsun sejak beberapa hari lalu.

Kereta api itu terkandas selama 12 jam di daerah Thane sebelum pihak berkuasa menghubungi Tentera Laut India dan Pasukan Bertindak Bencana Kebangsaan (NDRF) de­ngan bantuan aset bot, unit penyelam serta helikopter.

Seorang wakil syarikat Indian Railways menyatakan lebih 600 orang berjaya diselamatkan dalam tempoh empat jam operasi bermula.

Terdapat sembilan wanita me­ngandung dalam kalangan sekurang-kurangnya 800 penumpang kereta api, kata jurucakap NDRF kepada agensi berita AFP.

Gambar rakaman udara me­nunjukkan sejumlah bot membawa penumpang berpakaian ves ke­selamatan daripada kereta api yang terperangkap dalam air lumpur di sekelilingnya.

Beberapa ambulans dan sekurang-kurangnya 37 doktor turut dibawa ke kawasan itu untuk membantu merawat penumpang dan diberikan makan serta minuman, menurut Indian Railways.

Seorang jurucakap syarikat menambah bahawa sebuah ‘kereta api bantuan’ akan membawa pe­numpang ke destinasi akhir.