Potensi Tanam Kelapa Pandan & Kelapa Mataq. Mampu Beri Pulangan Lumayan Kepada Pekebun Kecil

Oleh HAKIM MOHD ZIN
Foto REDZUAN IBRAHIM

Kelapa adalah sejenis tumbuhan yang sesuai ditanam di kawasan bersuhu panas dan
lembap. Buahnya tidak bermusim dan boleh didapati sepanjang tahun. Ianya kaya
dengan lemak berguna dan pelbagai unsur penting kepada manusia seperti antioksidan dan juga antibodi penting. Di Malaysia, ia hanya ditanam secara komersil di
Johor, Selangor dan Perak. Ladang-ladang dan juga kebun utama terdapat di kawasan
Bagan Datok dan Hutan Melintang, Perak.

Industri kelapa masih memainkan peranan penting dalam perdagangan negara. Pada tahun 2011, Malaysia mempunyai kira-kira
6,868 hektar kelapa melibatkan 2,882 keluarga tani. Ini menghasilkan sebanyak
40,788,574 kg kelapa (berdasarkan kepada hasil purata kelapa sebanyak 5,939 kg
sehektar setahun). Sebahagian besar daripada varieti yang ditanam adalah daripada
jenis tradisional seperti Malayan Tall (92%), manakala bakinya adalah daripada jenis
hibrid komersil seperti MATAG (5%), Pandan (2%) dan MAWA (1%).

Kerajaan amat menggalakkan penanaman kelapa bagi memenuhi permintaan yang
semakin meningkat dalam penggunaan masakan, kuih muih, minuman, aktiviti
pelancongan dan lain-lain. Pada tahun 2011, Malaysia telah mengeksport kelapa dan
produk kelapa bernilai RM49,262,655 manakala import kelapa dan produk kelapa
bernilai RM52,544,026 memberikan kurangan imbangan dagangan sebanyak
RM3,281,371.

Sebahagian besar daripada eksport terdiri daripada minyak kelapa dan produk-produk
kelapa seperti karbon teraktif, kelapa parut kering dan santan/serbuk santan manakala
import utama terdiri daripada minyak kelapa, karbon teraktif, kopra dan kelapa segar.
Kepentingan kelapa juga semakin menyerlah dengan penemuan dan penghasilan
produk-produk baru seperti Minyak Kelapa Dara atau Virgin Coconut Oil (VCO).

Projek kelompok kelapa merupakan pendekatan pembangunan pertanian yang telah
dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian. Objektif utama projek ini adalah untuk
mengoptimumkan penggunaan sumber bagi meningkatkan pengeluaran ladang dan
seterusnya meningkatkan pendapatan petani.

Bagi menyahut seruan kerajaan ini, kini banyak negeri-negeri memulakan penanaman
kelapa terutama penanaman kelapa MATAG. Salah satu contoh projek tersebut ialah
Projek Kelompok Kelapa Kampung Batu Puteh, Marang, Terengganu. Projek kelompok
ini mula diusahakan sejak tahun 2005 yang mana tanah asalnya merupakan tanah
terbiar dan dimajukan di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Daerah Marang. Kawasan
ini mula bertanam pada tahun 2006 dengan keluasan 8.8 hektar meliputi varieti Pandan
seluas 0.8 hektar dan varieti MATAG seluas 8.0 hektar.

Kelapa MATAG

Kelapa MATAG merupakan kelapa hibrid yang dihasilkan daripada pendebungaan
silang Kelapa Rendah Malaya dan Kelapa Tagnanan. Apabila cukup dewasa
ketinggian pokok MATAG boleh mencapai 15 meter. Daun, bunga dan buahnya
berwarna samada hijau atau jingga pucat, bergantung kepada jenis pokok induk Kelapa
Rendah Malaya. Hasil purata bilangan buah kelapa dan kopra adalah lebih tinggi
daripada hibrid MAWA.

Artikel Berkaitan   Eksport Durian Premium ke China Dijangka Melonjak Akhir Tahun 2019

Kelapa MATAG boleh mengeluarkan antara 25 hingga 30 ribu biji buah setahun
sehektar. Buah kelapa yang dihasilkan sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti untuk
air kelapa muda, pengeluaran santan dan juga untuk kopra.

Varieti ini mempunyai ciri-ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang ‘robust’
dan ‘vigorous’ di ladang. Dengan pengurusan ladang yang baik dan hujan yang
mencukupi, kelapa MATAG mula berbunga pada tahun ketiga dan proses penuaian
bolehlah dilakukan pada tahun keempat.

Kelapa MATAG sesuai ditanam mengikut sistem penanaman tiga segi sama atau
‘double hedge row pattern’ sekiranya pengutipan hasil dirancangkan secara
mekanisasi. Kepadatan optimum yang disyorkan adalah antara 178 hingga 180 pokok
sehektar.

Berbanding dengan kelapa MAWA, kelapa MATAG mengeluarkan buah yang lebih
besar daripada MAWA walaupun isinya sama tebal. Hasil MATAG pada enam tahun
pertama didapati agak rendah sedikit (61 hingga 139 biji sepokok) daripada MAWA (75
hingga 151 biji sepokok). Walau bagaimanapun, hasil kelapa MATAG meningkat mulai
tahun ke tujuh dan ke atas, iaitu 153 biji sepokok dan boleh mencapai sehingga 169 biji
sepokok berbanding dengan 157 biji bagi kelapa MAWA.

Dari segi pengeluaran kopra pula, MATAG mengeluarkan hasil kopra yang rendah pada
tahun pertama iaitu 12.1 kg hingga 36.4 kg berbanding dengan 16.4 kg hingga 33.0 kg
kopra bagi kelapa MAWA. Selepas tahun ketujuh dan ke atas, hasil kopra daripada
kelapa MATAG lebih tinggi, iaitu 42.2 kg berbanding 34.3 kg kopra daripada kelapa
MAWA.

Secara keseluruhannya, kelapa varieti MATAG memberikan hasil buah kelapa yang
tinggi dalam jangka masa panjang. Saiz buah MATAG yang besar, bukan sahaja
memberi kelebihan dari segi kos mengutip dan mengopek kulit, tetapi juga popular di
kalangan pengguna domestik.

Kelapa Pandan (Kelapa Wangi)

Di sini juga terdapat kelapa Pandan . Kelapa Pandan merupakan kelapa jenis rendah
yang diperkenalkan dari Thailand pada tahun 1971. Di Thailand kelapa ini dipanggil
sebagai ‘Makprow Nam Horm’ dan di peringkat antarabangsa dikenali sebagai ‘aromatic
dwarf’. Keistimewaaan kultivar kelapa wangi terdiri daripada isi dan buahnya berbau
wangi pandan dan sesuai untuk diminum dan dimakan segar. Ketinggian pokok boleh
mencapai enam meter. Tandan dan buah berwarna hijau dan buahnya kecil berbentuk
bulat berbiku tiga.

Penanaman kelapa ini boleh dijalankan secara kepadatan tinggi dengan jarak tanaman
6 m x 6 m. Ia mula mengeluarkan hasil apabila mencapai umur tiga hingga empat tahun
selepas ditanam di ladang. Ketika berumur tiga tahun pengeluarannya, hanya 40%

hingga 50% dan mencapai 100% apabila berumur empat tahun. Pokok kelapa Pandan
mengeluarkan 12 hingga 18 jambak bunga setahun. Purata bilangan buah setandan di
antara 10 hingga 15 biji tetapi boleh berkurangan pada musim kemarau atau jika
kawasan dibanjiri air.

Artikel Berkaitan   Mohd Hisham Md Isa Raih RM180 Sekilo Jual Buah Tin Mentah

Pada tahun ke 13, ia boleh mengeluarkan 130 hingga 175 biji buah kelapa muda
sepokok. Dalam satu hektar (208 pokok) jumlah pengeluaran boleh mencapai 36,000
hingga 49,000 buah kelapa muda setahun. Kandungan air bagi sebiji ialah lebih kurang
330 ml. Anak kelapa pokok Pandan boleh dikenali melalui bau pandan pada hujung
akar yang dihancurkan.

Melihat tandan buah-buah kelapa muda biasanya boleh dipetik pada umur 6 hingga 6 ½
bulan selepas persenyawaan. Kaedah yang biasa digunakan ialah dengan melihat
tandan buah serta saiz buah kecil (T-2) dan pembentukan seludang (T-3) di atas tandan
buah kecil tersebut. Tandan kelapa muda yan dipetik (T-1), tandan buah kelapa kecil
(T-2) dan seludang (T-3) adalah selari atau terletak di atas satu sama lain.

Produk Hasilan Kelapa

Isi, air, sabut, daun dan batang kelapa digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk
kelapa dalam bentuk makanan atau bukan makanan. Produk kelapa ini boleh
dikategorikan sebagai produk kelapa segar dan produk kelapa yang diproses.
Produk kelapa segar terdiri daripada isi, air dan santan kelapa yang digunakan untuk
masakan atau sebagai makanan dan minuman segar. Buah kelapa muda boleh dibuat
‘Coconut Milk Shake’ dan juga diproses untuk menjadi produk-produk yang enak yang
boleh dibawa balik atau dihadiahkan kepada kaum keluarga dan rakan.

Manakala produk kelapa yang boleh diproses terdiri daripada isi kelapa yang boleh
diproses untuk menghasilkan minyak kelapa. Seterusnya minyak kelapa ini diproses
untuk menghasilkan produk-produk komestik, farmasi dan produk-produk lain. Minyak
kelapa juga digunakan untuk pengeluaran asid laurik. Isi kelapa boleh juga diproses
untuk menghasilkan kopra, santan segar, santan proses, kerisek, dodol, kuih muih, nata
de-coco, bahan kosmetik, sabun, ‘coco peat’, ‘coco fibre’, kraftani dan juga Minyak

Kelapa Dara (VCO) yang semakin meningkat permintaannya. Produk VCO yang
dihasilkan telah menjadi daya penarik kepada pengunjung serta sebagai buah tangan
untuk dibawa pulang.

Sabut kelapa dapat digunakan untuk membuat koir dan serat kelapa. Tempurung
kelapa boleh digunakan untuk menghasilkan arang teraktif, bahan bakar dalam
pembuatan ubat nyamuk dan bahan hiasan dalam industri kraftangan, batang kelapa
diproses menjadi kayu yang bermutu untuk kegunaan industri pembinaan dan perabot.
Nira diperolehi dari mayang kelapa dan boleh diminum atau diproses menjadi gula
melaka, cuka atau todi.

(sumber: Ringkasan Pencapaian Purata Hasil Pengeluaran Projek-projek Industri
Tanaman Tahun 2011 Jabatan Pertanian).

SEDANG MENCARI BENIH KELAPA PANDAN / KELAPA MATAQ AREA SABAH? SILA HUBUNGI SAYA DI TALIAN 014-301 6212 Don (Whatsapp)

SEDANG MENCARI BENIH KELAPA PANDAN / KELAPA MATAQ AREA SABAH? SILA HUBUNGI SAYA DI TALIAN 014-301 6212 Don (Whatsapp)