Abang Dimasukkan Ke Penjara, Ini Respon Adik Farid Kamil

ADIK pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari, memohon maaf kerana tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut berkenaan hukuman penjara 13 bulan yang dikenakan ke atas abangnya itu, hari ini.

Farid dijatuhkan hukuman itu kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas, dua tahun lalu.

Fadzil ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp berkata, pihaknya tidak ada sebarang komen buat masa sekarang.

“Maaf ya buat masa sekarang tak dapat bagi komen apa-apa ya,” katanya ringkas. Sementara itu, isteri Farid iaitu Datin Diana Danielle juga mengambil pendekatan berdiam diri.

Mesej yang dihantar kepada Diana pada jam 3.21 petang tidak berbalas biarpun sudah dibaca dan profilnya tertera online.

Terdahulu, Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dan penjara empat bulan bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan tidak sopan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini, tetapi berasingan dengan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadap Farid Kamil sebelum ini bagi kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.

Nor Ariffin menjatuhkan hukuman terhadap pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintah tertuduh membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000 atau menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar kos berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Farid menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin sementara peguamnya memfailkan rayuan.

kredit harian metro