“Ada Bisikan Halus Yang Pesan Kepada Saya” Lelaki Berjaya Dirangkap Polis Gara-Gara Mencuri Ambulans

Seorang lelaki mengadu mendengar suara bisikan sebelum melarikan sebuah ambulans milik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kejadian dilaporkan terjadi sekitar jam 12.10 tengah malam di hadapan Jabatan Kecemasan HKL.

Polis menerima laporan berhubung kecurian pada jam 12.15 tengah malam sebelum Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tiba ke lokasi kejadian.

“Dalam masa yang sama, kakitangan HKL turut mengekori suspek dengan sebuah lagi ambulans.

“Selepas dimaklumkan lokasi kedudukan ambulans itu, URB berjaya menyekat dan menahan kenderaan itu 12.39 tengah malam di Jalan Tar, Kuala Lumpur,” katanya.

Suspek berusia 51 tahun dilaporkan mempunyai 17 rekod jenayah lampau, bertindak sedemikian selepas mendakwa mendengar suara bisikan halus.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel Berkaitan   Penghantar Makanan Teruk Dipukul Dan Dimaki Oleh Pelanggan, Kemudian Menghinanya