“Ada Penyakit Gemuruh, Boleh Makan Petai!” Saranan Sharifah Sakinah Betul Tapi Pakar Kata Ada Syaratnya

PETALING JAYA, 9 Mac — Petai merupakan antara makanan yang sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia.

Walaupun buah tersebut mempunyai bau yang kurang menyenangkan namun, ia dipercayai mengandungi pelbagai khasiat tersendiri.

Terbaharu pelakon Sharifah Sakinah berkongsi khasiat petai bersama pengikutnya di media sosial dengan mendakwa pengambilan ‘snek’ petai mampu menangani masalah gemuruh (anxiety) atau kemurungan.

“Ini kerana petai mengandungi tryptophan, sejenis protein yang badan tukar kepada serotonin yang dapat menjadikan orang lebih relaks, gembira dan menjadi emosi lebih stabil,” katanya di Instagram yang memetik sumber Google.

Jelas Sakinah, carian di internet turut mendapati kebanyakan individu mengalami kemurungan pulih selepas makan buah petai.

“Akhir-akhir zaman ni memang manusia tak lari dengan masalah anxiety, masalah stress, masalah tempat kerja. Jadi snek ni sangat senang beli je letak dalam beg tangan…hanyalah sayur-sayuran yang sangat penting.

“Hanya beli petai. Kalau bos bising-bising hanya ambil,” katanya lagi.

Sementara itu, semakan ProjekMM mendapati pengambilan petai secara berlebihan mampu membawa kesan sampingan terutama kepada pesakit buah pinggang.

Pakar Perubatan Dr Rafidah Abdullah berkata, ini kerana petai mempunyai kandungan kalium atau potassium yang tinggi dikhuatiri boleh mendatangkan kesan degupan jantung luar biasa atau berhenti secara tiba-tiba.

Setakat ini, hantaran dimuat naik Sharifah Sakinah menerima 77,060 tanda ‘suka.’

Artikel Berkaitan   Kalau Nak Jantung Anda Sentiasa Sihat Dan Mampu Melawan Penyakit, Amalkan Jus Tomato. Senang Je Buat!