Sempena mencecah usia empat bulan, ibu bapa kepada seorang bayi perempuan yang memiliki tanda lahir berwarna hitam di wajah telah mengadakan majlis istimewa untuk anaknya.
Carol Fenner dan suaminya, Thiago Tavares mengadakan majlis itu dengan memuat naik beberapa gambar di laman Instagram rasmi anaknya, Luna Tavares Fenner.
Bayi berasal dari Brazil itu mempunyai tanda lahir yang hampir penuh di seluruh muka disebabkan oleh perubahan genetik ketika berada di dalam rahim ibunya.
Lebih istimewa apabila tanda lahir tersebut memiliki bentuk dan corak seperti rama-rama ataupun topeng Batman.
Menurut pasangan itu, tanda lahir berkenaan turut mempunyai bulu dan perlu dicukur seminggu sekali dan akan terus tumbuh sehingga anaknya membesar.
Walaupun tidak menyakitkan, namun kadang kala ia menjadi gatal dan secara tidak langsung menganggu penglihatan anaknya itu.