“Ada Yang Menganggap Saya Terlalu Gembira Dan Akan Gugur Tak Lama Lagi” Eyra Hazali Dedah Perangai Netizen

PELAKON, Eyra Hazali kesal dengan tindakan warganet yang mendoakan kandungannya gugur selepas mengumumkan berita kehamilan baru-baru ini.

Eyra yang kini hamil tiga bulan berkata, dia tidak menjangka mendapat komen negatif dan keterlaluan sebegitu.

“Walaupun bayi saya masih dalam kandungan, sudah ada kecaman daripada warganet. Kalau saya ceritakan semuanya, mesti ramai yang terkejut.

“Antara komen yang paling teruk diterima selepas membuat pengumuman kehamilan adalah, ada yang menganggap saya terlalu gembira dan akan gugur tak lama lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Isteri kepada penjaga gol pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Haziq Nadzli itu berkata, dia bagaimanapun dinasihati doktor untuk tidak terlalu menghiraukan komen warganet.

“Doktor yang merawat saya sepanjang kehamilan ada menasihati supaya tidak terlalu menghiraukan komen warganet. Suami saya juga akan sentiasa menapis komen di media sosial setiap pagi.

“Memang saya terganggu, tapi kalau saya terlalu fikirkan nanti akan menjejaskan kandungan. Jadi, lebih baik saya fokus kepada kehamilan saya,” katanya.

Eyra dan Haziq berkahwin pada 1 November 2019 selepas dua tahun berkenalan. Berita kehamilan itu dikongsi Eyra menerusi satu rakaman video ‘unboxing’ yang didakwa hadiah pemberian seseorang sempena perkahwinannya.