“Adik…Adik…,” Sayu Hati Melhat Seorang Ibu Meratapi Anaknya Yang Sudah Tidak Bernyawa, Polis Sahkan Kejadian Tersebut

“ADIK…adik…,” jeritan ibu Muhamad Irfan Jamaludin, 9, sebaik melihat jenazah anaknya yang ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Santap, Pokok Sena, di sini hari ini.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu yang terlalu sedih dengan pemergian anaknya itu terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarganya.

Mayat Muhamad Irfan ditemui pada 5.08 petang oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra di dasar sungai berkenaan.

Muhamad Irfan yang menunggang basikal dipercayai tergelincir ke dalam sungai disebabkan kasutnya basah dan licin pada 1.20 tengah hari.

Kejadian itu disaksikan empat rakannya yang kebetulan tiba di tempat kejadian untuk memancing selepas ternampak mangsa terkapai-terkapai sebelum tenggelam

Muhd Hadi Imran Saari menunjukkan lokasi rakannya, Muhammad Irfan terjatuh ke dalam Sungai Santap di Pokok Sena. Foto Zuliaty Zulkiffli

Seorang daripada rakan mangsa kemudiannya pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada ibunya dan menghubungi bomba untuk bantuan.

Ketua Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zain berkata, mayat mangsa ditemui di dasar sungai sedalam hampir tiga meter itu.

Menurutnya, mayatnya ditemui dalam keadaan terbaring di dasar sungai berkenaan.

“Mayatnya ditemui selepas lebih dua jam usaha mencarinya dilakukan di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Badariah Md Lazim, 40, berkata, dia terkejut apabila rakan anaknya datang ke rumah dan memaklumkan ada orang lemas di sungai berhampiran rumah.

Menurutnya, ketika itu azan Zuhur baru berkumandang dan pada waktu yang sama dia menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian itu.

Artikel Berkaitan   [VIDEO] Baru Kematian Isteri Tercinta, Bapa Ini Terpaksa Kerja Bengkel Sambil Dukung Anak Undang Sebak

“Saya mulanya risau kerana anak saya dan rakan-rakannya baru menuju ke sungai dan bimbangkan anak ketika itu.

“Sebelum itu, mereka bercadang untuk berkelah di tepi sungai tetapi sempat bermain di rumah. Arwah pula baru hari ini rapat dengan mereka tetapi tak sangka pula semua ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian lemas itu.