Adik Bunuh Abang Tiri Gara-Gara Tak Puas Hati Kemudian Masukkan Dalam Tong Sebelum Ia Disimen Mula Dibicarakan

PENIAGA didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas pertuduhan membunuh abang tirinya di sebuah rumah di Kampung Padang Hassan, Bukit Pinang pada 6 Mac lalu.

Tertuduh, Mohamad Zamhuri Azami, 25, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Zamhuri dituduh membunuh abang tirinya, Mohd Hasnul Nizar Khairul Anuar, 34, di sebuah rumah di Kampung Padang Hassan sekitar 6 hingga 8 malam pada 6 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siti Norhidayah kemudiannya menetapkan 22 Jun depan sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat diperolehi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syifa Mohd Hamzah.

Dalam kejadian 8 Mac lalu, mayat seorang lelaki berusia 34 tahun ditemui dalam tong air biru berhampiran rumahnya selepas polis menahan adik tiri mangsa berusia 25 tahun.

Suspek yang juga peniaga ayam goreng dipercayai membunuh abang tirinya menggunakan pisau pemotong daging selepas berlaku pergaduhan antara mereka.

Dia yang panik kemudian memasukkan mayat abang tirinya ke dalam tong sebelum disimen.

Artikel Berkaitan   Pengurus Terkejut Bintang Muda Tik Tok Bunuh Diri, Sedangkan Baru Sahaja Bercakap Dengannya