Adik Juara Mentor Dibunuh Oleh Teman Lelaki Gara-Gara Cemburu, Kemudian Teman Lelakinya Minum Cecair Cuci Lantai

CEMBURU dipercayai menjadi motif seorang wanita ditikam hingga mati oleh teman lelakinya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Padang Balang, Sentul di sini, petang kelmarin.

Malah, teman lelaki mangsa kemudian bertindak meminum cecair pencuci lantai dipercayai untuk membunuh diri selepas kejadian itu.

Menurut sumber, mangsa yang dikenali sebagai ‘Lady Cacabella’ berusia 24 tahun dan berasal dari Tanah Merah, Kelantan selalu berkunjung ke rumah teman lelakinya itu yang berusia 43 tahun kerana masing-masing sudah mengenali antara satu sama lain untuk tempoh yang lama.

Malah, mangsa turut dikenali ahli keluarga lelaki terbabit.

Kejadian itu disedari ahli keluarga teman lelaki mangsa yang kemudian menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, polis menerima laporan kejadian itu daripada seorang wanita, pada jam 5.52 petang.

“Bertindak atas laporan, polis ke lokasi kejadian dan menemui mayat seorang wanita terbaring di atas katil dengan kesan tikaman pada perut dan berlumuran darah.

“Pada masa sama, seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga teman lelaki mangsa turut berada di tempat kejadian dalam keadaan lemah kerana mengalami muntah darah dan sesak nafas dipercayai selepas meminum cecair pencuci lantai.

“Pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemui,” katanya semalam.

Katanya, suspek dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan dilaporkan masih tidak sedarkan diri.

Lady Caccabella merupakan adik kepada pemenang program realiti Mentor musim keenam iaitu Puteri Caroline Mohamad Kamel. Menurut laporan polis, mangsa ditemui dengan kesan tikaman pada perut.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan   Pesan Starbucks Guna Loghat Negeri Tapi Nak Cakap Inggeris, Lelaki Ini Bikin Berdekah Keluar Air Mata

“Mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah mangsa juga sudah dituntut ahli keluarga jam 2.30 petang dan akan dikebumikan di Kampung Batang Merbuk, Tanah Merah.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menyalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Stephen Ganeson di talian 016-3767390 dan Asisten Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly di talian 017-2446363 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 584/585.