Agrobank lancar program pembiayaan khas untuk agropreneur wanita
UALA LUMPUR: Agrobank kelmarin melancarkan Program Pembiayaan Mikro Agro Nisaa’-i yang dikhusus bagi agropreneur wanita (usahawan tani wanita).
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, bank itu berharap pembiayaan tersebut akan dapat membantu meningkatkan taraf hidup usahawan wanita terutamanya golongan B40.
“Menerusi konsep ini, para usahawan yang terlibat di bawah program pembiayaan mikro Agro Nisaa’-i akan dibimbing oleh pegawai Agrobank tentang pengurusan kewangan, perbelanjaan dan khidmat nasihat lain,” katanya dalam satu kenyataan akhbar kelmarin.
Agro Nisaa’-i dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub, di MAEPS sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018).
Ia merupakan kemudahan pembiayaan mikro yang disediakan khusus untuk usahawan wanita bagi mengembangkan perniagaan berasaskan pertanian dan industri asas tani dan menggabungkan tiga konsep utama iaitu pembinaan asas disiplin kredit, pengeluaran pembiayaan yang berterusan dan pemantauan yang konsisten serta sistematik. — Bernama