Ahli Perniagaan Ini Berputih Mata Lesap RM347,800 Sekelip Mata Akibat Takut Dihadapkan Ke Mahkamah

Panik didakwa terlibat penggubahan wang haram mengakibatkan seorang ahli perniagaan sanggup memberikan maklumat akaunnya sebelum kerugian RM347,800 diperdaya Macau Scam baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, mangsa yang berusia 63 tahun itu terdahulu menerima panggilan telefon daripada lelaki dikenali Hafiz mendakwa wakil Mahkamah Melaka pada 21 Ogos lepas.

Beliau berkata, suspek memberitahu mangsa mempunyai tunggakan hutang kad kredit sebanyak RM16,000 namun dinafikan mangsa.

“Bagaimanapun, suspek kemudiannya memaklumkan kemungkinan maklumat peribadi mangsa telah disalahgunakan dan meminta pengadu membuat laporan secara atas talian.

“Panggilan telefon kemudiannya disambungkan kepada ‘Inspektor Leong’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sebelum dinyatakan terlibat dalam kes penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Md. Asri menambah, ‘pegawai polis’ itu seterusnya meminta pengadu memberikan maklumat akaun untuk tujuan siasatan.

Ujar beliau, mangsa yang panik bertindak memberikan maklumat akaun Maybank dan Bank Rakyat kepada suspek tersebut.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan akaun bank dan mendapati sejumlah RM254,800 dan RM93,000 telah berkurangan masing-masing dari akaun Bank Rakyat dan Maybank miliknya.

“Laporan polis kemudiannya dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada Isnin lalu,”katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   “Langsung Tidak Terdetik Di Fikiran Kami Untuk Mempromosikan Sesuatu Yang Memalukan Agama” Teruk Dikecam Akhirnya Pengarah Ini Buka Mulut