HVALVIK, Kepulauan Faroe – Sekumpulan pemburu membunuh 23 ekor paus semasa pemburuan tahunan yang dinamakan The Grind di Kepulauan Faroe, lapor akhbar Daily Mail.
Air laut tepi pantai di sini bertukar merah daripada darah mamalia mati itu, manakala seekor anak paus belum lahir turut dikeluarkan daripada rahim induknya.
Semua paus pilot itu dibunuh bagi mendapatkan daging dan lemaknya.
Sejumlah pelancong turut menyaksikan dan merakam gambar pada jarak beberapa meter daripada kawanan paus mati tersebut.
Penangkapan ikan paus menjadi tradisi sejak beberapa ratus tahun lalu bagi membantu membekalkan makanan kepada penduduk kepulauan terpencil di Lautan Atlantik itu pada musim sejuk.
Penduduk tempatan mendakwa, pembunuhan paus itu adalah untuk dijadikan makanan dan mematuhi undang-undang.
Bagaimanapun, aktivis-aktivis hak haiwan berkata, perbuatan itu tidak berperikemanusiaan dan mahu pemburuan paus diharamkan.
Pertubuhan amal, Sea Shepherd United Kingdom merakam pembunuhan paus itu di sebuah teluk di sini pada Jumaat lalu.
“Semakin ramai orang awam dan pelancong berhenti di kawasan pantai untuk melihat kawanan paus pilot meronta sebelum dibunuh.
“Pembunuhan ini menjadi acara sosial dengan ibu bapa tertawa dan berbual sesama mereka, manakala anak-anak pula bermain di pantai tempat pembunuhan dilakukan,” kata seorang jurucakap pertubuhan itu.
Kepulauan Faroe terletak 320 kilometer ke barat laut Scotland. Ia merupakan negara autonomi di bawah naungan Kerajaan Denmark