“Air Mata Ajaib” Sara Hidup Penduduk Lebih Dari 100 Tahun, Ramai Tidak Percaya!

KUBANG PASU: Kewujudan mata air dipercayai lebih 100 tahun lalu di Kampung Rumput Minyak, Tunjang, di sini terus menjadi sumber air kepada lapan keluarga yang tinggal berdekatan.

Dengan kedalaman tidak sampai satu meter terletak di kaki bukit Tunjang, mata air di bawah pohon ketapang itu tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau.

Penduduk, Lu Soon Hock, 70, berkata dia dan tujuh keluarga lain menggunakan paip untuk menyalurkan air ke rumah mereka yang terletak kira-kira 100 meter dari mata air berkenaan.

“Sejak kecil saya guna air ini sehinggalah sekarang anak cucu turut guna air dari sumber yang sama, ia tidak pernah tercemar dan kami menggunakannya untuk minum dan memasak selain untuk mencuci pakaian.

“Air ini sentiasa jernih, dulu semasa kecil saya selalu ambil air ini jual kepada pegawai kerajaan dengan harga 20 sen bagi satu tin atau kira-kira 10 liter,” katanya ketika ditemui.

Penduduk, Nadri Ghazali, 37, berkata mata air itu digunakan oleh nenek moyangnya dahulu dan ia masih mengalir sehingga sekarang walaupun pohon ketapang itu tumbang akibat ribut tiga tahun lalu.

Katanya, kedudukan rumah mereka di kaki bukit menyebabkan air bersih yang disalurkan Syarikat Air Darul Aman (Sada) bertekanan rendah.

“Kami sudah biasa guna mata air sejak turun-temurun, jadi apabila bekalan air bersih tidak dapat digunakan, ia tidak memberi kesan besar kepada kami.

“Alhamdulillah sehingga kini tiada kes kami sakit perut atau masalah kesihatan lain timbul sepanjang keluarga saya dan penduduk menggunakan air ini. Ia bersih dan selamat diminum.

“Cuma saya minta tidak ada pihak tertentu yang cuba ‘mengusik’ dengan mengorek mata air ini berikutan terdapat mata air di kampung ini sudah tidak boleh digunakan lagi akibat ada pihak mengoreknya,” katanya.

Artikel Berkaitan   10 Golongan Wanita Yang Dilaknat Allah.. No.2 Paling Banyak Dilakukan Oleh Wanita Masa Kini..

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad, berkata pihaknya akan membina pagar dan bumbung bagi mengelak haiwan liar seperti babi atau anjing ‘berkunjung’ ke situ.

Menurutnya pembinaan bumbung adalah bagi mengelakkan kawasan itu dipenuhi daun.

kredit harian metro