Akhirnya Tun M Beritahu Beliau Akan Umum Tarikh Anwar Jadi PM

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengumumkan tarikh bagi menyerahkan tanggungjawabnya itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.

Katanya, beliau tetap berpegang kepada janjinya berhubung perkara itu.

“ Saya akan umum kemudian, saya akan tunai janji,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today selepas melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam hari ini.

Dr. Mahathir ditanya pemberita mengenai kenyataan Anwar yang akan mengambil alih tampuk kerajaan pada tahun hadapan.

Sementara itu Rabu lalu, presiden PKR itu dalam wawancara dengan Bloomberg Television berkata, tiada tanda parti lain akan memperkenalkan nama lain untuk merebut jawatan itu dan jika ada, lawannya tidak relevan.

Dalam satu temuramah tersebut beberapa hari lalu, Presiden PKR itu berkata, beliau akan mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mei 2020.

“ Ada kesefahaman bahawa ianya akan berlaku sekitar waktu itu, tetapi saya fikir saya tak perlu terlampau cerewet bulan berapa,” kata Anwar.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir didesak menetapkan tarikh khusus untuk menyerahkan kuasanya kepada Anwar seperti yang dipersetujui pemimpin Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

Mahathir yang dilantik semula sebagai perdana menteri susulan kemenangan PH dalam PRU14, berulang kali menegaskan beliau akan mengotakan janji untuk berundur selepas memerintah kira-kira 2 tahun.

Terdahulu hadir sama dalam majlis tersebut, Pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari dan Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Rais Yatim.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir turut menafikan pelancaran Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air adalah untuk menyaingi piagam kerjasama UMNO-Pas dipanggil Muafakat Nasional.

Sebaliknya, beliau menegaskan piagam ini dibuat sebagai satu kesedaran dan kelestarian untuk memelihara kepentingan rakyat dalam bidang warisan dan budaya digerakkan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, pengajian sejarah terutama berkaitan arkeologi dan kajian zaman amat penting diteliti secara empirikal, tersusun dan berasaskan penyelidikan saintifik.

” Dalam konteks ini, kepentingan ilmu sejarah yang berasaskan fakta tidak bias atau berat sebelah perlu diutamakan.

” Kita tidak seharusnya menurut apa orang lain kata terhadap kesan, nilai-nilai dan takrif tentang sejarah kita,” katanya.

(Visited 563 times, 1 visits today)