Akibat Cemburu, Suami Bertindak Memukul Kekasih Isterinya Sampai Mati

Akibat cemburu selepas isteri keluar dengan kekasih, seorang lelaki bertindak di luar batasan dengan memukul teman lelaki isterinya itu sehingga menggunakan kayu berpaku dalam kejadian di Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2.30 petang itu, mangsa, Badrul Hisham Ngah Aziz, 42, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, anggota polis dari unit kereta peronda (MPV) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 2.40 petang.

“Tiba di lokasi, anggota mendapati suspek yang berusia lingkungan 40an itu masih lagi memukul mangsa sebelum dia kemudiannya diberkas.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan rumah isteri suspek dan ketika kejadian mangsa sedang menghantar pulang isteri suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Nik Rosdi, suspek kemudian bertindak menyerang mangsa dengan memecahkan cermin kereta sebelum menariknya keluar.

“Suspek seterusnya memukul mangsa menggunakan kayu yang berpaku sehingga dia meninggal dunia di lokasi tersebut.

“Isteri suspek cuba menghalang suaminya namun gagal dan dia bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berpunca akibat perasaan cemburu suspek selain dia mengesyaki isterinya ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

“Pasangan tersebut yang mempunyai enam anak itu sudah setahun tidak tinggal bersama dan mereka difahamkan dalam proses perceraian.

“Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa pula dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.

(Visited 785 times, 1 visits today)