Akibat Menyindir Kitar Semula, Lelaki Ini Diperintah Ambil Semula Peti Ais Dalam Gaung

Seorang lelaki yang mencampakkan sebuah peti ais ke dalam gaung telah dikenakan denda €45,000 (RM210,600) dan dipaksa mengutip semula ‘sampah’ itu ke atas sebuah bukit di sini baru-baru ini.

Pihak berkuasa Sepanyol berkongsi dua video menunjukkan lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu tertawa ketika mengutuk amalan mengitar semula sebelum mencampak peti ais berkenaan dari tepi jalan raya di puncak bukit tersebut.

Pada awal rakaman video tersebut, lelaki itu melihat ke arah kamera dan menyatakan ‘Kitar semula, mari kita kitar semula peti ais ini’, lapor akhbar The Guardian.

Selepas mengimbangi peti ais tersebut di atas besi penghadang jalan selama beberapa saat, dia menolaknya jatuh ke dasar gaung itu.

Video kedua dikongsi dalam akaun Twitter polis menunjukkan lelaki tersebut dan seorang lelaki lain bertungkus lumus menarik naik peti ais tersebut ke puncak bukit yang sama.

Kedua-duanya dilihat mendaki perlahan-lahan sambil mengheret naik peti ais berkenaan dan beberapa kali terjatuh sebelum sampai ke puncak.

Kedua-dua video tersebut telah ditonton lebih 700,000 kali di Twitter dengan berpuluh-puluh pengguna media sosial memuji tindakan polis yang berjaya menjejaki lelaki itu.

Mereka kemudian berkongsi satu video kepada polis menunjukkan seorang lelaki lain mencampakkan mesin basuh dari puncak sebuah bukit dengan kapsyen ‘siasatan masih dijalankan’ untuk kes tersebut. – Agensi

Artikel Berkaitan   Orang Ramai Cari Pemuda Yang Hilang Rupanya Jumpa Di Mulut Buaya