Akibat Merompak RM250 Dengan Pisau, Lelaki Ini Merengkok Dalam Penjara Selama 9 Tahun

KUALA TERENGGANU – Perbuatan seorang lelaki yang merompak wang tunai RM250 milik seorang peniaga dengan bersenjatakan sebilah pisau dua tahun lalu akhirnya berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.


Hakim Wan Azimah Yaacob menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Zamri Awang, 37, bermula dari tarikh tangkap pada 9 April 2018.

Berdasarkan pertuduhan, Zamri bersama dua lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau terhadap seorang lelaki berusia 33 tahun melibatkan kerugian RM250.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di hadapan sebuah stesen minyak di Padang Midin di sini pada pukul 3.30 pagi, 13 Julai 2017.