“Aku Bagi Ko Tompang Rumah Aku, Lepas Tu Ko Curi Pulak Rantai Emas Aku, Sedara Jenis Apa Ko Ni?”

SABAK BERNAM- Niat baik seorang wanita menumpangkan pasangan suami isteri yang juga sepupu di rumahnya dibalas dengan tuba apabila seutas rantai emas dicuri mereka dalam kejadian di Simpang 4 Tebuk Baru, Bagan Terap di sini baru-baru ini.

Kesemua berlaku apabila mangsa berusia 51 tahun menyedari rantai emas bernilai RM1,700 itu hilang sebaik kembali daripada majlis kahwin kira-kira pukul 12.30  tengah hari, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 37 tahun itu didapati menumpang di rumah sepupunya sejak 29 Ogos lalu.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menumpang di rumah tersebut atas alasan sekadar untuk menziarahi mangsa sekeluarga.

“Pada hari kejadian, mangsa dan suaminya telah pergi ke majlis kenduri kahwin berhampiran rumahnya pada pukul 12 tengah hari dengan kedua-dua suspek didapati berada di rumah tersebut.

“Bagaimanapun, sekembalinya mangsa ke rumah setengah jam kemudian didapati kedua-dua suspek telah tiada selain seutas rantai emas yang disimpan di dalam beg tangan mangsa di dalam bilik hilang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nor Azmi memberitahu, bertindak hasil laporan dan maklumat diterima pihaknya kemudiannya berjaya menahan kedua-dua suspek pada Rabu lalu di sebuah inap desa di Bedong, Kedah dengan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Ujar beliau, pihaknya juga berjaya menemui semula seutas rantai yang dilaporkan hilang selepas dijual oleh suspek di sebuah kedai pajak gadai di Sungai Petani, Kedah.

Kosmo! difahamkan pasangan suami isteri itu mencuri akibat terdesak berikutan kesempitan hidup.

“Hasil semakan mendapati suspek lelaki yang juga sepupu mangsa berusia 37 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan dan merupakan individu dikehendaki.

Artikel Berkaitan   Inilah Bezanya Nafkah Isteri dan Wang Belanja... Ramai Yang Salah Anggap Perkara Ini

“Manakala, isteri suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dengan kedua-duanya negatif dadah,” katanya.

Nor Azmi berkata, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari sehingga Ahad ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE