“Aku Cam Muka Kamu Semua, Nanti Aku Akan Tembak Semua Polis Yang Buat Rondaan.”

“PELURU dekat Thailand harga RM2.50 saja bos, aku cam muka kamu semua, nanti aku akan tembak semua polis yang buat rondaan.”

Itu antara ugutan oleh seorang lelaki kepada anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) ketika membuat rondaan di pengkalan haram di Rantau Panjang, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA8, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, anggota yang bertugas terserempak dengan suspek berusia lingkungan 30-an dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian menghampiri suspek untuk membuat pemeriksaan namun lelaki itu enggan memberikan kerjasama sebelum mengugut menikam anggota sambil mengacukan sabit di tangan.

“Anggota cuba meminta dia bertenang sebelum lelaki terbabit tiba-tiba mencampak sabit yang dipegang ke dalam perahu dan terjun ke Sungai Golok dipercayai berenang ke sempadan Thailand.

“Dalam keadaan tegang itu, suspek sempat melaungkan kata-kata ugutan sebagai tanda amaran kepada pihak kami yang menjalankan tugas mengekang kegiatan dia yang dipercayai penyeludup.

“Kewarganegaraan suspek tidak dapat dikenal pasti, manakala pisau sabit miliknya dirampas dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas,” katanya.

Muhammad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas selain Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958 (Akta 357).

“Tindakan suspek cuba menakutkan anggota kami, namun PGA8 sudah biasa dengan ugutan sedemikian, malah kami tidak gentar sebaliknya terus berani mencegah pelbagai aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

“Selain itu, kawalan terus diperketatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kegiatan haram yang dilakukan penyeludup selain memperkasakan Ops Benteng Covid yang kini di bawah tanggungjawab PGA8.

Artikel Berkaitan   Rupanya Ada Ramai Sindiket Yang Buat “Urus Jual Beli” Secara Online, Wanita Ini Dedah Pengalamannya

“Selain itu, terima kasih kepada agensi penguat kuasa lain serta masyarakat setempat yang memberi kerjasama baik kepada pihak kami,” katanya.

kredit harian metro