Alhamdulillah Bapa Zahid AF Yang Berumur 70an Akhirnya Ditemui, Beliau Memandu Sejauh 232 KM Berseorangan

Selepas hampir 12 jam hilang bapa kepada penyanyi Zahid, Baharudin Md. Arif, 70, telah ditemui dalam keadaan selamat di Gerik, Perak, pada pukul 10.30 malam tadi.

Zahid yang bersyukur dengan penemuan tersebut menjelaskan bapanya ditemui seorang kenalan keluarga selepas dilaporkan hilang sejak keluar dari kediamannya di Teluk Intan, Perak pada pukul 11.15 pagi Ahad.

“Alhamdulillah, seorang kenalan keluarga kami di sana yang menemuinya. Bapa kemudian dibawa ke balai polis berdekatan,” jelas Zahid kepada Kosmo Online!

Tambah Zahid apa yang mengejutkan, ketika ditemui bapanya memberitahu mahu ke klinik, bagaimanapun membawa kereta sehingga ke Gerik dari Teluk Intan yang berjarak sejauh 232 kilometer.

“Apapun saya bersyukur, terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan,” ujarnya.

Terdahulu, Zahid telah memuat naik entri di laman sosial Twitter meminta bantuan orang ramai mencari bapanya yang mempunyai masalah ingatan atau demensia. – K! ONLINE