“Amirah Adalah Anak Harapan Keluarga.. Walaubagaimanapun Dia Telah Meninggal Dunia Disebabkan Jangkitan”

Graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Amirah Mohd Zahari, 24, yang menerima ijazah atas katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bulan lalu meninggal dunia pukul 6.20 petang tadi.

Amirah menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Pasir Badak, Ketereh di sini tidak sampai sebulan selepas keluar dari Wad 3 Utara hospital itu 13 Disember lalu.

Abang iparnya, Mohd. Izwan Syukri, 32, berkata, keadaan Amirah yang mengalami jangkitan kuman dalam otak menjadi semakin lemah dari sehari ke sehari sejak keluar dari hospital.

“Akhir-akhir ini pula dia enggan makan langsung dan hanya terlantar atas katil di rumah.

“Amirah adalah anak harapan keluarga kerana dia satu-satunya daripada lapan beradik yang berjaya ke universiti tetapi Allah lebih sayangkan dia,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Kisah Amirah yang diraikan UMK dalam majlis konvokesyen mini di hospital telah dilaporkan akhbar Disember tahun lalu.

Dalam majlis itu, Amirah yang merupakan graduan program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan (Sastera) telah menerima ijazah yang disampaikan sendiri Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar sambil disaksikan ibu bapanya, Mohd. Zahari Saat, 63 dan Noriah Mamat, 54, serta pasukan perubatan yang merawatnya.

Penyakit itu yang menyerang arwah sejak Jun tahun lalu menyebabkan gangguan saraf yang telah menjejaskan pergerakan, percakapan dan penglihatannya sekali gus telah menghalang Amirah menyertai Istiadat Konvokesyen UMK yang berlangsung pada pertengahan Oktober. – K! ONLINE

(Visited 539 times, 1 visits today)