“Anak Saya Hidup Dalam Tekanan, Saya Hanya Mampu Berdoa” Mangsa Letupan Mesin Pengering Pakaian Menderita, Pemilik Kedai Diam Membisu

“Hidup anak saya hanya akan kembali normal sekiranya dia memiliki kulit yang sihat. Dengan keadaan kulitnya sekarang, saya tidak rasa dia mampu berdepan masyarakat dan mengejar cita-citanya”.


Itu luahan Haizira Badarudin, 42, yang bimbangkan keadaan anak gadisnya, Nurani Ellesya Badrul Nizam, 15, yang melecur teruk sehingga 45 peratus di tubuh termasuk muka dalam kejadian letupan mesin pengering pakaian di kedai dobi layan diri di Bandar Putera 2, 4 Oktober 2018.

Kejadian itu turut mengakibatkan suaminya, Badrul Nizam Baharom, 43, maut akibat melecur lebih 75 peratus selain kegagalan organ dalaman lain selepas 10 hari bertarung nyawa.

Kematian Badrul adalah kejadian pertama membabitkan letupan mesin pengering pakaian dobi layan diri yang dioperasikan menggunakan gas petroleum cecair (LPG) dan dilaporkan secara bersiri dalam akhbar ini pada Rabu dan semalam.

“Nurani yang dahulunya ceria dan aktif bermain pelbagai jenis sukan di sekolah, kini hanya mampu terlantar kerana keadaan kulitnya yang melecur dan semakin menggelembung.

“Sudah hampir setahun Nurani menahan sakit, panas dan gatal yang teramat sehingga membuatkannya tertekan. Anak saya itu masih belum pandai mengawal emosinya kerana apa yang dia tahu, dia sepatutnya bersekolah dan bergaul dengan rakan.

“Jadi, saya perlu mencari wang yang banyak jika mahu mendapatkan rawatan pembedahan plastik untuknya, namun ia tidak semudah itu. Saya masih perlu menanggung dua anak termasuk Nurani yang bersekolah,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia hanya mampu mendapatkan gaji bulanan sebanyak RM2,500 dengan bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai kereta di kawasan rumahnya.

“Saya tidak boleh melakukan banyak pekerjaan dalam sehari kerana saya masih perlu menjenguk Nurani sekurang-kurangnya dua kali sehari kerana dia keseorangan di rumah.

“Anak bongsu berusia sembilan tahun juga saya perlu pastikan keperluannya ke sekolah mencukupi. Saya tidak cukup tangan, namun saya tidak sanggup melihat keadaan Nurani yang menderita kesakitan.

“Sebagai seorang ibu, saya sanggup lakukan apa saja untuk semua anak lebih-lebih lagi Nurani yang memerlukan perhatian yang khusus,” katanya.

Katanya lagi, naluri keibuannya tersentuh apabila anak gadisnya itu sering bertanya mengapa dia yang dipilih menjadi mangsa kepada letupan itu.

“Setiap kali Nurani bertanya soalan yang sukar, saya hanya mampu berdoa supaya Allah SWT permudahkan segalanya dan beri ketenangan jiwa kepada Nurani.

“Jika boleh tukar tempat dengan anak, sudah lama saya lakukannya. Dia atau sesiapa saja tidak sepatutnya berada dalam keadaan yang menderita seperti ini.

“Apa yang membuatkan saya lebih terkilan adalah disebabkan kecuaian orang lain, arwah suami dan anak saya terpaksa menanggung penderitaan ini,” katanya.

Katanya, pemilik kedai dobi layan diri itu langsung tidak menghubungi keluarganya bagi meringankan beban kos rawatan Nurani yang mencecah ratusan ringgit setiap bulan.

“Sejak hari kejadian, tiada seorang pun wakil atau pemilik kedai dobi berkenaan tampil meminta maaf untuk cuba memperbetulkan keadaan.

“Malah, apabila saya minta mereka menanggung kos rawatan suami sebelum dia meninggal dunia, mereka tidak mahu bertanggungjawab,” katanya.