Anak Tukang Kutip Sampah Datang Ke Sekolah Bawa Mangkuk Semata-Mata Untuk Ambil Lebihan Makanan Getus Perasaan Netizen

HYDERABAD – Sekeping gambar seorang kanak-kanak perempuan di Hyderabad, India mengintai sebuah bilik darjah sambil memegang mangkuk kosong tular di media sosial.


Gambar bertajuk Aakali Choopu (wajah kelaparan) yang diterbitkan dalam sebuah akhbar Telegu itu diambil di sekolah kerajaan Deval Jham Singh di Gudimalkapur.

Divya, kanak-kanak setinggan yang kelihatan dalam gambar itu akan datang ke sekolah terbabit setiap hari selepas ibu bapanya keluar bekerja untuk mendapatkan lebihan makanan tengah hari pelajar.

Gambar anak pengutip sampah dan tukang sapu itu menyentuh hati warganet dan mendapat perhatian Venkat Reddy, Pengurus Kebangsaan MV Foundation, sebuah NGO berkaitan hak asasi.

Dengan bantuan Reddy dan organisasi berkenaan serta para sukarelawan, Divya kini diterima masuk ke sekolah terbabit.

Susulan gambarnya yang tular di media sosial, Divya (tengah) kini diterima belajar di sekolah yang sering didatanginya bagi mendapatkan makanan.

Menurut Reddy, Divya berasa amat gembira kerana dapat bersekolah dan menikmati makanan enak. – Agensi