“Apa Jadi Kepada Ikrar Dahulu Untuk Lawan Dan Jatuhkan Pemimpin Kleptokrat?”

KUALA LUMPUR, 1 Jun ― Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar sikap pemimpin Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ingkar dengan janji untuk melawan kerajaan kleptokrat.

Pengerusi PPBM yang terlucut keahliannya itu berkata janji itu hanya sekadar kata-kata manis untuk meraih sokongan dalam pilihan raya umum lalu.

“Apa jadi kepada ikrar dahulu untuk lawan dan jatuhkan pemimpin kleptokrat? Oh, itu ikrar sahaja untuk dapat sokongan pengundi. Sekarang sudah dapat lupakan sahaja,” catatnya di Twitter.

Katanya ahli dan pemimpin PPBM, dahulunya menyertai parti itu kerana mahu menjatuhkan perdana menteri yang mencuri berbilion duit kerajaan, kini sanggup menerima pemimpin itu semula.

“Apa kata pemimpin lain dalam Bersatu. Apakah mereka sanggup menerima pencuri sebagai pemimpin? Okaylah, asal dapat nikmat,” catatnya.

Katanya sikap itu akan menyebabkan PPBM hancur kerana tidak lagi berjuang untuk menyelamatkan orang Melayu dari pemimpin kleptokrat.

Beliau juga mempersoalkan sama ada parti itu akan meraih kepercayaan rakyat pada masa akan datang selepas meninggalkan Pakatan Harapan dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama Umno dan PAS.

“Itu masa depan. Demikian sikap beberapa pemimpin dan ahli Bersatu,” tambahnya

kredit projekmm