PEMBAKARAN terbuka daripada aktiviti penebangan pokok berhampiran kuil Kek Lok Si, Bukit Bendera di Georgetown menyebabkan empat hektar hutan di kawasan popular itu terbakar, malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Ia (kebakaran) membabitkan tanah bukit di kawasan utama dan pasukan penyelamat menghadapi masalah aksesibiliti malah laluan berkenaan juga sempit, gelap dan berkabus” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadianpada 7.12 malam.
Menurutnya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Erskine serta Paya Terubong dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba anggota mendapati berlaku kebakaran berdekatan kuil Kek Lok Si di Bukit Bendera dan tiada laluan ke lokasi.
“Terdapat empat spot kebakaran dengan setiap keluasan setiap spot ialah satu hektar,” katanya.
Katanya, anggota bomba terpaksa berjalan untuk mendaki ke lokasi kebakaran dan kerja pemadaman sedang giat dilakukan.