Artis Muda Tik Tok Macam Cendawan Lepas Hujan, Baru Berusia 15 Tahun Pendapatan Sudah RM4000 Sebulan

APLIKASI Tik Tok mencetuskan fenomena apabila ramai remaja, sebahagian besarnya berusia 15 hingga 19 tahun bergelar ‘selebriti segera’ selepas meraih populariti seterusnya mengumpul peminat hingga ratusan ribu orang.

Malah, ada dalam kalangan mereka memiliki lebih 700,000 peminat di media sosial, lebih daripada artis tanah air.

Bagi kalangan peminat fanatik pula, ada yang sanggup menubuhkan kelab peminat untuk memberi sokongan kepada selebriti kesayangan mereka.

Malah, populariti diraih turut membantu remaja Tik Tok ini menjana pendapatan lumayan untuk individu di usia mereka.

Personaliti media sosial terkenal, Coki, 15, atau nama sebenarnya Muhammad Danish Danieal Shamsaini mempunyai peminat bukan saja dari Malaysia, malah Brunei dan Indonesia.

Coki yang digelar Raja Slowmo Malaysia memuat naik 50 video Tik Tok sejak aktif bermain aplikasi itu Disember tahun lalu.

“Sebelum ini, saya lebih banyak bermain aplikasi slowmo dan beralih kepada Tik Tok lalu memuat naik video ini ke Instagram.

“Saya menjadi tular selepas berlaku konflik di antara peminat saya dengan peminat Army BTS,” katanya.

Menurut Coki, selepas peristiwa itu, setiap video Tik Tok dihasilkannya menjadi perhatian ramai dengan mendapat lebih 120,000 tontonan apabila dimuat naik ke aplikasi berkenaan.

SHAMSAINI sering menasihati Coki dalam mencari idea kandungan video di Tik Tok.

“Saya tidak sangka kemunculan dalam video Tik Tok yang sekadar suka-suka menjadi tular.

“Malah, ia memberi rezeki yang melimpah ruah apabila menerima banyak tawaran membuat ulasan makanan dan produk, iklan serta berlakon.

“Alhamdulillah, saya mampu menjana sehingga RM4,000 sebulan melaluinya,” katanya.

Menurut Coki, kehidupannya banyak berubah selepas bergelar personaliti media sosial terkenal dan banyak rutin yang dilakukan sebelum ini terpaksa dilupakan.

Artikel Berkaitan   Salman Khan Hampir Dibunuh Oleh Pembunuh Upahan Yang Berjaya Ditahan, Strateginya Berjaya Dibongkar Polis

“Memandangkan sekolah masih belum dibuka, waktu siang dipenuhi dengan aktiviti penggambaran dan latihan lakonan.

“Manakala pada waktu malam, saya meluangkan masa bersama peminat secara langsung di saluran YouTube,” katanya.

Coki yang menetap di Kedah berkata, pada hujung minggu, dia meluangkan masa bersama keluarga dan berbincang dengan bapa yang juga selaku pengurus, Shamsaini Ezil, 40, bagi mencari idea kandungan untuk video Tik Tok serta ulasan makanan atau produk.

“Papa sering menasihati saya supaya tidak leka dengan populariti dan mahu saya menyelitkan unsur nasihat dalam kandungan video Tik Tok.

“Walaupun sudah popular, saya akan cuba menyeimbangkan di antara akademik dan kerjaya.

“Saya akan pastikan ia berjalan seiring dan akademik tetap menjadi keutamaan,” katanya.

kredit harian metro