“Arwah Ada Pergi Ke Rumah Saudara Kami, Ibu Saudara Ada Tegur Raut Wajahnya Yang Agak Lain”

“IBU saudara ada memberitahu raut wajahnya nampak lain ketika berjumpa baru-baru ini,” kata Othman Abdul Talib, adik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia akibat serangan jantung petang semalam.

Othman, 55, berkata, sebelum ini arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang terlalu ketara.

“Cuma, arwah ada pergi ke rumah saudara kami di Keramat, Kuala Lumpur dan ibu saudara ada menegur raut wajahnya yang nampak agak lain.

“Tetapi abang (yang lain) hanya mengatakan dia (banyak) membuat kerja dan nampak lain mungkin akibat keadaan cuaca panas,” katanya ketika ditemui selepas pengkebumian jenazah arwah di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang di Slim River, hari ini.

Othman berkata, dia kali terakhir berjumpa arwah sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hanya berhubung melalui aplikasi whatsapp keluarga.

“Saya mendapat berita daripada kumpulan Whatsapp keluarga berkenaan arwah rebah ketika bermain golf dan kira-kira setengah jam kemudian kami mendapat berita kematian arwah.

“Setahu kami arwah tidak mempunyai sebarang penyakit dan kami sekeluarga tidak mengetahui berkenaan sakitnya, jadi kami terkejut dengan berita pemergian,” katanya.

Jenazah Mohd Khusairi Abdul Talib, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang, pada 9.20 pagi ini.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Khusairi meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 4.15 petang semalam kerana mengalami serangan jantung selepas dilaporkan tiba-tiba rebah ketika bermain golf.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Cuba Menipu Masa Saringan, Berkumpul Bersama Orang Awam, Peserta Jemaah Tabligh Akhir Berjaya Juga “Dicekup” Polis