“USTAZ, sini, sini (berdiri) sebelah saya. Apa apa jadi senang.” Demikian perbualan terakhir seorang lelaki yang kemudian rebah selepas solat subuh berjemaah di Surau Raudhatul Firdaus, Taman Kerjasama, Kluang, Johor, semalam.
Kisah itu dikongsi seorang lelaki dikenali Muhd Abdul Rahman di Facebooknya mengenai seorang lelaki, Jalaludin Borhan yang disahkan meninggal dunia ketika solat berjemaah di surau itu.
“Kematian yang dicemburui, hari ini (semalam) saya menjadi saksi kematian itu datang bila-bila masa.
“Subuh berjemaah bersama anak Tahfiz al-Mukhlisin. Selesai solat subuh berjemaah seorang insan yang dipilih Allah, Jalaludin Borhan dijemput Ilahi.
“Husnul Khotimah. Pengakhiran yang kita semua idamkan. Solat subuh berjemaah, wirid, sujud kemudian rebah dan mata ini melihat kebesaran Ya Allah,” katanya.
Perkongsian Muhd Abdul Rahman dikongsi lebih 500 pelayar Facebook dan menerima 448 komen daripada netizen selepas dimuat naik pada jam 9.34 pagi, semalam.
Muhd berkata, dia berada di samping arwah sejak awal pagi dan sempat menyapa lelaki itu.
“Cik Jalal, awal pagi ke surau sebelum dibalas arwah ‘nak ke pasar lepas ni ustaz, terus pergi je’. Senyum arwah terkenang sehingga sekarang.
“Tengah azan arwah masuk ke dalam surau dan bersandar ke dinding selepas solat sunat yang tengah menanti iqamat. Arwah menyapa ‘ustaz, sini, sini sebelah saya, apa apa jadi senang’ dan ketawa kecil kami,” tulisnya.
Menurutnya, selepas solat dan berzikir tiba-tiba arwah mengurut dadanya.
“Arwah sujud memohon kekuatan dari Allah SWT. Bangun daripada sujud, arwah urut dada kembali kemudian rebah.
“Saya terkejut, melihat wajah arwah kita faham. Saya mengucap syahadah di telinganya dan ayat terakhir arwah adalah ‘Allah’ sebelum pergi meninggalkan kita.
“Satu penyaksian dan pengakhiran yang kita semua cemburui,” kongsinya.
kredit harian metro