Ashraf Muslim Sebak Tinggalkan Keluarga, Isteri-Isteri Dan Anak-Anaknya Apabila Dijemput Allah Ke Mekah

Pelakon Ashraf Muslim sebak kerana terpaksa meninggalkan keluarganya untuk tempoh 40 hari demi menunaikan ibadah haji.

Ashraf atau nama sebenarnya Mohd. Ashraf Muslim, berangkat ke Tanah Suci Mekah pada pukul 9 pagi tadi berseorangan tanpa ditemani mana-mana ahli keluarganya.

“Bismillahirrahmanirrahim. Saya Mohd. Ashraf bin Muslim hari ini telah dipanggil oleh Allah S.W.T untuk menyahut seruan-Nya bagi menjalankan tanggungjawab rukun Islam yang kelima.

“Alhamdulillah dan terima kasih Allah. Dengan rasa rendah diri, saya ingin memohon maaf kepada ahli keluarga, sahabat-sahabat dan kenalan-kenalan yang mengenal diri saya. Halalkan makan minum saya.

“Tepat pukul 9 pagi ini bermulalah pengembaraan saya ke tanah suci selama 40 hari meninggalkan ahli keluarga dan sahabat-sahabat serta harta benda sementara waktu untuk menjalankan tanggungjawab yang paling agung,” tulisnya menerusi kiriman di Instagram sebentar tadi.

Pelakon drama Dia Menantu Rahsia itu juga memohon doa daripada peminat agar diberikan kesihatan baik sepanjang berada di Tanah Suci dan mendapat haji yang mabrur.

Pada masa sama, Ashraf mengharapkan kesejahteraan dan keselamatan kedua-dua isteri, keluarga serta harta bendanya sepanjang ketiadaan di tanah air.

“Saya amat berterima kasih kepada ayah, Muslim dan arwah bonda, Farilah Azil kerana kesungguhan mereka serta keizinan Allah akhirnya saya dapat menunaikan haji.

“Sedih, hiba dan rindu semua ada waktu ini. Hanya Allah sahaja yang tahu. Tapi inilah yang dinamakan pengorbanan. Bukan saya sahaja perlu lakukan, malah orang sekeliling yang menyayangi saya juga,” katanya.

Lebih hiba, Ashraf, 37, turut menitipkan pesanan buat kedua-dua isterinya, Dayana dan Sakinah serta empat orang anaknya agar jangan bimbang dan bersedih dengan pemergiannya ke Mekah.

“Terima kasih isteri-isteriku, anak-anakku, Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah kerana sentiasa memahamiku sebagai seorang ayah, teman baik, teman marah, teman mengadu, teman bermain dan segala-galanya.

“Maafkan ayah sayang-sayangku. Ayah pergi sekejap sahaja. Kita jumpa nanti ya. Jangan sedih dan risau. Ayah sayang semua sangat-sangat,” kongsi Ashraf.

Selain Ashraf, pelakon Datin Umie Aida juga akan berangkat ke Mekah bersama suami, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, esok untuk menunaikan haji buat pertama kali.

Sementara itu, aktres popular Erra Fazira pula akan berangkat ke sana pada 5 Ogos, juga untuk mengerjakan haji buat kali pertama. – K! ONLINE

(Visited 128 times, 1 visits today)