“Assalamualaikum. Bila Masa Mama Jumpa Nota Ini, Amad Dah Tak Ada Dalam Dunia Ini, So Tak Payah Cari…”

Seorang pelajar sebuah sekolah berasrama di Kuala Selangor sempat meninggalkan sekeping nota sebelum menghilangkan diri dari rumahnya di Pekan Kuala Selangor di sini pagi tadi.

Pelajar terbabit, Ahmad Fitri Mohammad Shaffie, 15, disedari hilang oleh ibunya, Mardiana Ismail, 58, ketika ingin menunaikan solat Subuh kira-kira pukul 6.30 pagi.

Mardiana berkata, kali terakhir dia melihat Ahmad Fitri ketika anak bongsu daripada lima beradik itu sedang menjamah makanan kira-kira pukul 2 pagi tadi .

“Dalam nota itu tulisan tangan yang ditinggalkan di atas meja solek, Ahmad Fitri meminta saya sekeluarga tidak mencarinya kerana sebaik saya membaca tulisan ini dia sudah tiada di dunia ini.

“Ini membuatkan saya risau dan buntu terhadap tindakan Ahmad Fitri memandangkan kami sekeluarga tiada sebarang perselisihan faham,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas Mardiana,  anaknya itu dipercayai menghilangkan diri tanpa membawa sebarang dokumen serta telefon bimbit.

Ujarnya, dia dan suaminya Mohammad Shaffie Hasan, 58, ada mencarinya di sekitar Klang selepas orang awam memaklumkan ternampak remaja mirip dengan Ahmad Fitri menaiki bas menuju ke sana.

“Sepatutnya, saya menghantar Ahmad Fitri ke asrama kelmarin namun dia memberikan pelbagai alasan sebelum bertindak menghilangkan diri.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dilakukan pukul 8.30 pagi tadi di Balai Polis Kuala Selangor,” katanya.

Orang ramai yang melihat Ahmad Fitri atau mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Mardiana di talian 019-3811743 atau 013-2828390. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Dr Amalina Dedah Seorang Pakar Bedah Warga Malaysia Sedang Bertarung Nyawa Gara-Gara Covid-19 Di UK