“Awat Hampa Ketegaq Sangat Ni” Orang Kampung Hadiri Kenduri Terpaksa Pulang Setelah Dihalau Polis

WALAUPUN Perintah Kawalan Pergerakan sudah berkuatkuasa sejak semalam tetapi ada pihak yang ingkar termasuk mengadakan majlis kenduri yang dihadiri orang ramai.

Hari ini, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar terpaksa mengarahkan orang ramai yang hadir ke satu kenduri di Kampung Bogok, Mukim Derga dekat Alor Setar supaya bersurai.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, anggotanya tiba di lokasi pada 1.30 tengah harui sebaik dimaklumkan oleh orang awam terdapat orang ramai berkumpul di kenduri berkenaan.

Menurutnya, anggotanya kemudian memaklumkan tetamu yang datang hanya boleh mengambil makanan dan perlu beredar dari kawasan itu.

“Tuan rumah majlis kenduri itu memahami arahan itu dan meminta kesemua tetamu mengikut arahan polis.

“Kerajaan sudah mengeluarkan arahan supaya tidak berkumpul bagi mengelak daripada penularan wabak Covid-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rozi berkata, hari ini adalah hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa dan pihaknya hanya memberi amaran kepada tuan rumah dan tetamu namun tiada tindakan yang diambil.

Beliau berkata, ini adalah peringkat permulaan dan pihaknya memberi amaran supaya masyarakat sedar betapa pentingnya Perintah Kawalan Pergerakan ini dilakukan.

“Orang ramai juga dinasihatkan memakai penutup muka dan hidung serta cecair pembasmi kuman jika menyentuh sebarang objek yang boleh mengakibatkan jangkitan,” katanya.

Artikel Berkaitan   “Fizo Ada Telefon Ayah Saya” Gara-Gara Komen Di Media Social, Fizo Telefon Sendiri Ayah Hawa