Ayah Dah Tua Tiada Siapa Nak Ambil Bekerja, Anak-Anak Terpaksa Jual Nasi Lemak Di Kaki Lima

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Perumpamaan tersebut kerap kita dengar apabila mengetahui mengenai kisah seseorang yang mengalami masalah dalam hidup dan hanya dia yang merasai perit getirnya.


Selagi terdaya dan termampu, sudah tentu setiap insan mahukan yang terbaik dalam hidup sendiri dan juga keluarga. Jadi, apa sahaja peluang untuk mencari rezeki perlulah direbut walaupun tidak seberapa.

Menerusi satu perkongsian daripada seorang pengguna Twittter dikenali sebagai ijatamr, dia telah bertemu dengan dua orang kanak-kanak yang sedang berniaga nasi lemak di sebuah stesen minyak pada waktu malam.

Ijatamr turut berkesempatan bertemu bapa kanak-kanak itu yang mendakwa terpaksa berniaga disitu berikutan tiada siapa ingin mengambilnya bekerja memandangkan dia sudah berumur.

Jadi, bagi menampung perbelanjaan keluarga, dia dan anak-anak telah berniaga di tepi kaki lima stesen minyak di Bangi.

Menurut pengguna Twitter itu lagi, adik-adik tersebut masih bersekolah di Sungai Ramal, Kajang dan berniaga di situ sekitar waktu malam hingga jam 11. Dia turut mengakui bahawa kanak-kanak tersebut sangat baik dan petah bercakap disamping nasi lemak yang dijual sangat sedap.

Sehubungan dengan perkongsian yang dibuat, ramai warganet yang tinggal berhampiran kawasan tersebut berasa terpanggil untuk merasai nasi lemak yang dijual.

Dalam masa yang sama, mereka juga ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung.

Sumber : Ijatamr