
“AYAH saya beri nama ini dan saya bersyukur kerana nama Dr. Rosdi membuatkan ramai yang mengenali saya,” kata Dr. Rosdi Mat Yusoff, 49.
Dr. Rosdi adalah pegawai bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan.
Katanya, nama yang diberi oleh arwah bapanya membuatkan ramai yang memanggilnya doktor sehingga sekarang.
“Ramai dalam kalangan rakan anak saya bertanya sama ada saya bekerja sebagai doktor. Yang seronoknya saya tak payah belajar tinggi-tinggi nak jadi doktor sebab lepas lahir saya sudah jadi ‘doktor’,” katanya ketika ditemui di BBP Yan, hari ini.
Dr. Rosdi berkata, ramai anggota baru terutama Pegawai Bomba dan Penyelamat (PBB) pada mulanya menyangka dia seorang doktor yang bertauliah dan boleh merawat pesakit.
Namun apabila diperjelaskan hal sebenar, mereka ketawa namun menghormati nama Dr. Rosdi yang jarang ditemui.
“Malah ketika melakukan operasi pemadaman di tapak pelupusan sampah di Semeling baru-baru ini, saya turut membantu memberi rawatan awal kepada anggota yang melecur akibat terkena bara api dan timbunan sampah yang terbakar.
“Rakan-rakan minta bantuan Dr. Rosdi untuk membantu memberi rawatan tetapi kami melakukannya secara berpasukan untuk membantu anggota Unit EMRS,” katanya.
Menurut Dr. Rosdi, arwah bapanya, Mat Yusoff Awang memberitahu berlaku kesilapan ketika mendaftarkan namanya yang sepatutnya diberi nama Mohd Rosdi menyebabkan dia dikenali sampai sekarang.
“Ketika itu terkenal dengan filem Dr Rushdi lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan mungkin disebabkan terkesan dengan tajuk filem itu, dia tersilap daftar pada nama saya.
“Tetapi bagi saya, nama saya ini sangat unik dan membawa tuah kerana orang senang ingat pada saya,” katanya.
Dr. Rosdi berkata, dia tidak mengekalkan nama Dr. itu untuk empat anaknya yang berusia lapan hingga 21 tahun kerana baginya biarlah nama itu kekal pada dirinya.
Katanya, dia sudah biasa apabila dipanggil namanya ketika mengambil ubat di klinik dan hospital sehinggakan orang memandang kepadanya setiap kali dipanggil ‘Dr. Rosdi’.
Sementara itu, anggota PBB BBP Yan, Muhammad Redzuan Roshidi, 21, berkata, ketika dia mula bertugas di balai itu tahun lalu, dia menyangka ada doktor yang bertugas di situ dan apabila mengetahui ia hanya nama pegawai berkenaan, dia hanya tersenyum.
Katanya, Dr. Rosdi seorang penyelia yang tegas malah mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan bersungguh.