“Ayat Itu Jelas Untuk Merangsang Syahwat Pengguna, Orang Terus Tertarik Untuk Mencuba Produk Itu”

SEOLAH-olah tidak mampu dibendung apabila lebih 4,936 alamat pautan laman web (URL) dikesan aktif menjual ‘pil kuat’ dan pelbagai ubat rangsangan seks haram sejak Januari tahun lalu.

Malah, kegiatan pemasaran melalui dalam talian itu semakin melampau apabila pemilik laman web sengaja menyelit video atau gambar berahi bertujuan menarik minat orang ramai.

Itu antara tindakan tidak beretika untuk meracun pemikiran termasuk kalangan remaja.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, 3,156 URL berkaitan penjualan pelbagai produk haram dikesan sepanjang 2018 manakala 1,870 URL dikenal pasti sejak Januari 2019 hingga kini.

Menurutnya, iklan berahi melalui URL dan Facebook (FB) untuk melariskan jualan pil atau produk rangsangan seks haram itu semakin menjadi-jadi susulan tindakan pihak KKM menyerbu kilang atau syarikat haram produk ini.

Katanya, operasi berterusan KKM ini menyebabkan sindiket atau individu berkenaan menukar modus operandi dengan memilih medium media sosial untuk transaksi.

“Bersandarkan pelbagai nama dan gambar profil palsu digunakan, siasatan mendapati ribuan URL baru diwujudkan dengan memfokuskan produk kesihatan tidak berdaftar dan pelbagai produk rangsangan seks haram,” katanya.

Menurutnya, perkongsian video dan gambar panas itu jelas menimbulkan kemarahan dan rasa kurang senang netizen yang menganggap kaedah pemasaran itu keterlaluan.

“Ayat digunakan jelas bertujuan merangsang syahwat pengguna, sekali gus menarik minat golongan ini mencuba produk ditawarkan itu.

“Lebih memalukan apabila gambar gadis atau wanita bertudung turut dijaja melalui laman sosial yang diselitkan perkataan berbaur lucah.

“Tindakan ini bukan hanya mencemarkan imej Islam, malah jelas menjatuhkan maruah wanita Islam yang sengaja dikaitkan dengan aktiviti seks secara terbuka,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan pusat pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, penggunaan produk rangsangan seks adalah trend yang berupaya mewujudkan masyarakat terutamanya golongan belia berfikiran singkat dan mencari kepuasan melalui jalan pintas.

Artikel Berkaitan   “Tiap-Tiap Anak Punyai Bau Keistimewaan Masing-Masing. Jadi, Mak Pun Hidu Udara Bilik Tu Sedalam-Dalamnya Untuk Hilangkan Rindu Pada Anak-Anak”

Menurutnya, pendedahan terhadap produk serta iklan berbaur rangsangan seks dalam jangka masa yang berterusan akan membentuk satu kognitif pemikiran berunsur seksualiti yang merosakkan pemikiran.

“Kesan kognitif berunsur seksualiti membentuk pola pemikiran tidak sihat khususnya pada remaja yang akan cuba mengaplikasikan keinginan berdasarkan imaginasi melalui unsur jenayah dan di luar batasan agama.

“Ia akan membawa pada ketagihan separa sedar serta memberikan ancaman keselamatan pada nilai sosial masyarakat. Keselamatan pemakanan juga akan terkesan kerana kandungan barangan kimia haram dan berbahaya,” katanya.