Azwan Ali Didenda RM17,000 Hina Petugas Hospital Putrajaya

Pengacara sensasi Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA dijatuhkan hukuman denda RM17,000 oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur hari ini, selepas mengaku bersalah membuat penghantaran yang menyakitkan hati orang lain berhubung COVID-19.

Bekas pengacara itu dituduh memuat naik video menghina petugas Hospital Putrajaya sekaligus menjejaskan imej hospital itu dan kredibiliti kakitangan serta pegawai perubatan dalam mengendalikan Covid-19.

Hakim Azura Alwi memerintahkan Azwan, 54 tahun, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar jumlah denda tersebut.

Terdahulu, Azwan Ali yang berpakaian serba hitam, didakwa menggunakan laman Youtube miliknya “DIVAAATERSOHOR” dan secara sedar membuat penghantaran dengan niat menyakitkan hati orang lain di Pejabat Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, pada 24 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Sumber : Rotikaya