Mangsa nahas mesin pengisar di Korea Selatan kekal positif, akan jalani pembedahan plastik
PETALING JAYA: Selepas hampir sebulan tragedi yang menimpa Danial Arif Ahmad Fuat berlalu, keadaan kesihatannya semakin pulih selepas menjalani pembedahan kali ketiga pada Isnin lalu.
Melalui nota suara (voice note) yang dikirim oleh Danial Arif kepada mStar Online, tulang pehanya dipotong pada pembedahan tersebut dan perlu menjalani pembedahan plastik bagi merawat kesan luka kemalangan yang menyebabkan dia kehilangan separuh badan.
ARTIKEL BERKAITAN: Separuh badan anak hancur ‘ditelan’ mesin kitar sampah, keluarga mohon bantuan
“InsyaAllah lepas ini perlu lakukan pembedahan plastik pula, cuma kena tunggu bahagian yang luka tu baik dulu.
“Doktor maklumkan tisu pada bahagian yang terlibat tiada masalah dan jika tiada sebarang halangan, pembedahan plastik akan dijalankan lagi dua minggu,” kata pemuda yang yang berasal dari Pulau Pinang itu.
Keadaan Danial Arief ketika kedua-dua kakinya terperosok masuk ke dalam mesin pengisar sampah.
Danial Arif perlu berehat di hospital sehingga keadaan kesihatannya pulih sepenuhnya selepas pembedahan plastik itu sebelum dibenarkan pulang.
Difahamkan, segala kos perubatan di hospital berkenaan ditanggung oleh pihak majikannya.
Pada 19 November lalu, Danial Arif nyaris maut selepas ditimpa kemalangan di tempat kerja dalam satu insiden yang berlaku di sebuah kilang kitar semula di Korea Selatan.
Anak sulung daripada tiga beradik itu kehilangan hampir separuh anggota tubuhnya selepas ‘ditelan’ sebuah mesin pengisar sampah di kilang kitar semula yang terletak di Samseong, Seoul – Mstar Online
Artikel terdahulu:
Separuh badan anak hancur ‘ditelan’ mesin kitar sampah, keluarga mohon bantuan
PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia nyaris maut selepas ditimpa kemalangan di tempat kerja dalam satu insiden yang berlaku di sebuah kilang kitar semula di Korea Selatan.
Dalam kejadian yang berlaku pada petang Isnin, Daniel Arif Ahmad Fuad, 21, kehilangan hampir separuh anggota tubuhnya selepas ‘ditelan’ sebuah mesin pengisar sampah di kilang yang terletak di Samseong, Seoul.
Menurut bapa mangsa, anak sulungnya yang baru dua bulan bekerja di negara tersebut kini berada dalam keadaan tidak stabil dan terpaksa diberikan ubat tidur oleh pihak hospital yang merawat anaknya.
Ahmad Fuad Yun, 52, memberitahu dia berasa amat terkejut ketika dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa Daniel Arif oleh rakan anaknya.
“Saya dapat tahu daripada kawan-kawan dia yang berada di sana. Saya memang terkejut, tapi saya percaya dengan berita tersebut kerana kawan dia tu memang bersahabat rapat dengannya.
“Saya memang ada halang dia nak ke sana dulu (bekerja). Sedih tu… sesiapa pun akan sedih. Tapi, kita sebagai orang Islam, kita terima qada dan qadar Allah,” ujarnya dalam nada sebak ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Usaha menyelamatkan mangsa.
Anggota badan mangsa dari bahagian paha ke hujung kaki tidak dapat diselamatkan.
Tambah Ahmad Fuad, dia dan isterinya, Zainah Mohamad ketika ini sedang menguruskan dokumen berkaitan di Jabatan Imigresen sebelum meneruskan perjalanan ke Korea Selatan untuk melihat keadaan anaknya.
“Saya tak tahu nak cakap apa sekarang, saya cuma nak jumpa dia dulu je,” katanya yang dijangka terbang ke Korea Selatan pada Sabtu.
Pihak keluarga mangsa turut berharap agar rakyat Malaysia yang prihatin dapat menghulurkan sumbangan kewangan kepada anaknya yang kini mengalami kecacatan kekal.
Kaki mangsa yang hancur ditelan oleh mesin pengisar sampah tersebut.
Bagi mereka yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Ahmad Fuad di talian 019-558 9488.
Sementara itu, aktivis Malaysia yang enggan dikenali berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai insiden itu pada petang kejadian oleh rakan mangsa.
“Saya difahamkan, mangsa telah turun ke mesin pengisar tersebut untuk melihat punca ia tidak berfungsi seperti biasa. Namun, sambungan elektrik pada mesin itu telah pun dipadamkan.
“Mengikut kes yang biasa kita terima, kalau kes macam ini, mungkin ada benda yang tersangkut pada mesin itu.
“Tapi, tiba-tiba mesin itu bergerak sehingga menelan separuh badan mangsa,” ujarnya kepada mStar Online – Mstar Online