BAGI sesetengah orang, makanan pedas merupakan antara elemen pembangkit selera. Terdapat juga segelintir peminat juadah pedas yang berlumba-lumba menyertai cabaran makanan pedas dan adakalanya aktiviti tersebut dirakam serta dimuat naik di laman sosial secara langsung.
Di Korea Selatan, aksi makan yang dirakam secara langsung dan dipertontonkan kepada khalayak di laman sosial yang dipanggil sebagai mukbang.
Trend tersebut kian popular di seluruh dunia termasuk Malaysia sejak beberapa tahun lalu.
Selain cabaran makan makanan pedas, mukbang turut popular dalam kalangan individu yang mempunyai keupayaan makan dengan kuantiti banyak.
Mereka lazimnya akan kelihatan makan dengan berselera dan menghabiskan sehingga licin hidangan bersaiz luar biasa secara bersendirian yang biasanya boleh mengisi perut beberapa orang.
Ada juga mukbang yang berkonsep seperti pertandingan melibatkan dua orang atau lebih dengan tempoh masa tertentu dihadkan bagi menghabiskan sesuatu juadah itu.
Kesakitan
Baru-baru ini, seorang netizen berkongsi kisah isterinya yang mengalami luka pada bahagian usus dan mendakwa ia berpunca daripada makanan pedas.
Menurutnya, hampir setiap minggu isterinya makan sejenis mi segera yang terkenal dengan tahap kepedasan melampau dan tidak ramai mampu bertahan untuk menghabiskan hidangan tersebut.
Pakar Pemakanan dan Genetik serta Toksikogi Pemakanan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Razinah Sharif @ Mohd Sharif menjelaskan, makanan pedas tidaklah secara langsung melukakan perut.
Tambahnya, makanan pedas mengandungi capsaicin yang menambat pada reseptor yang terdapat pada lidah dipanggil TRV1 yang merangsang rasa sakit.
Pedas sebenarnya bukan rasa tetapi kesakitan. Capsaicin juga menyebabkan kerengsaan.
Pengambilan cili yang mengandungi capsaicin boleh menyebabkan inflamasi (radang) dan kerengsaan pada perut serta saluran gastrointestinal manusia.
Jika seseorang telah mempunyai masalah gastritis dan ulser, pengambilan capsaicin akan menyebabkan situasi tersebut bertambah teruk.
Katanya, sesetengah populasi manusia mempunyai reseptor capsaicin yang lebih rendah pada lidahnya, sekali gus menyebabkan mereka kurang sensitif terhadap rasa pedas.
Apabila reseptor ini bergabung dengan capsaicin, otak akan menghantar signal pedas kepada otak melalui saraf trigeminal dan vagus.
Reseptor ini juga wujud pada bahagian membran mukus yang menyebabkan kita boleh mengalirkan air mata serta air hidung apabila makan benda yang kaya dengan capsaicin.
“Namun, keupayaan bertahan makan makanan pedas serta penerimaan tahap kepedasan tidak sama bagi setiap orang. Bagi mereka yang tidak biasa makan pedas sejak kecil, ia mungkin boleh memberi kejutan pada tubuh.
“Selain itu, penggunaan cili yang tidak dimasak dengan betul juga boleh menyebabkan reaksi sakit perut,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Beliau berkata, makanan pedas boleh meningkatkan metabolisme tubuh dan pengambilan makanan pedas yang tidak keterlaluan secara berkala mampu menurunkan gejala refluks gastroesofageal yang mempunyai simptom seperti pedih ulu hati dan dispepsia (seperti senak perut).
Diet sihat
Dalam pada itu, mengulas mengenai obsesi menyahut cabaran makan banyak dalam masa yang singkat, beliau berkata, tabiat itu boleh menyebabkan sistem pencernaan terganggu.
“Proses pencernaan mengambil masa 4 jam dan tabiat makan dengan gelojoh menyebabkan nutrien penting dalam makanan tidak dapat diserap dengan baik ke dalam tubuh.
“Secara saintifik, proses pencernaan juga berlaku dalam keadaan kita makan secara relaks. Makanlah berpada-pada. Makan dalam kuantiti sedikit secara berkala mengikut diet suku-suku separuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tabiat makan berselang air juga boleh mengganggu proses pencernaan dan menyebabkan perut kembung.
Minum air semasa makan adakalanya menjadi tabiat kebiasaan bagi seseorang dan mungkin berlaku bergantung kepada situasi seperti tercekik atau minum untuk mengurangkan rasa pedas.
“Saranan saya ialah minum air sesudah makan sebaiknya selepas 30 minit. Boleh juga minum air kira-kira 10 minit sebelum makan bagi mereka yang ingin berdiet supaya boleh berasa kenyang lebih awal,” tuturnya yang juga merupakan salah seorang penulis di laman Facebook, Ini Sains Beb.