Bapa Pelawak Antarabangsa Tapi Anak Memilih Untuk Jadi Tentera. Anak Mr Bean Ini Kacak Juga Orangnya!

ANAK kepada pelakon dan pelawak terkenal dunia Rowan Atkinson, 64 tahun, menjadi pegawai tentera Gurkha selepas menamatkan latihan ketenteraan selama tiga bulan di Nepal.

Leftenan Ben Atkinson menjalani kursus selama 10 minggu dan diajar mengenai budaya tempatan untuk menyertai unit yang unik dalam tentera British tersebut.

Anak kepada Rowan, atau lebih dikenali sebagai Mr Bean itu, perlu belajar bahasa tempatan dalam memainkan peranan barunya sebagai pegawai tentera Gurkha.

Ibunya, Sunetra Sastry, 62 tahun, yang berketurunan India, merupakan seorang jurumekap artis di United Kingdom.

Surat daripada Persatuan Gurjha Brigade menyifatkan Ben seorang individu yang sangat cepat belajar dalam mempelajari bahasa itu.

“Ini mungkin boleh dikaitkan dengan pengalaman bahasanya, memandangkan dia pernah belajar Bahasa Arab dan Bahasa Sepanyol, atau keperluan mendesaknya untuk bersembang dalam bahasa Nepal.” kata persatuan itu.

Ben, 26 tahun, turut diajar adat resam serta budaya tempatan sebelum diterima sebagai tentera Gurkha.

Lepasan Universiti Exeter itu juga pernah berpengalaman sebagai pengawal kehormat kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron dan bekas perdana menteri Britain Theresa May, tahun lepas.

Tentera Gurkha merupakan sebahagian daripada tentera British sejak 200 tahun lalu.