Bau Aneh Daripada Sebuah Rumah Membongkar Penemuan Mayat Seorang Pensyarah UITM

Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 di sini di temui mati di dalam rumah sewanya di kawasan perumahan Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan dekat sini semalam.

Mayat pensyarah sains politik itu, Badrul Azmier [email protected], 43, ditemui kira-kira pukul 6.30 petang selepas seorang jirannya menghidu bau busuk dari rumah lelaki tersebut.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, pensyarah itu dipercayai telah lebih dua hari meninggal dunia berdasarkan keadaan mayatnya yang mereput.

“Jirannya yang menghidu bau busuk bertindak menghubungi pihak polis. Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati rumah itu berkunci dari dalam.

“Polis kemudian meminta pengawal keselamatan kawasan perumahan tersebut menghubungi waris pensyarah itu untuk membuka pintu rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, polis menemui mayat pensyarah yang belum berkahwin itu terbaring di atas katil dalam salah sebuah bilik selepas pintu rumah tersebut berjaya dibuka.

Menurut beliau, mayat itu hanya memakai seluar ketika ditemui dan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini bagi menjalani bedah siasat.

Jelas beliau, siasatan polis dan hasil bedah siasat di HTJ mendapati tiada unsur jenayah berhubung kematian pensyarah tersebut.

“Siasatan juga mendapati pensyarah itu tinggal berseorangan di rumah sewa berkenaan.

“Mayatnya dituntut oleh ahli keluarganya hari ini untuk dikebumikan di Melaka dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Indonesia Keluarkan Arahan Jangan Berhimpun, Program Tabligh Teruskan Program, Ada Rakyat Malaysia Juga Turut Serta