Bau Busuk Daripada Apartmen Akhirnya Terungkai Apabila Orang Ramai Menemui Mayat Yang Berbungkus Selimut

PETALING JAYA – Bau busuk di dalam sebuah unit apartmen mendedahkan penemuan seorang wanita tempatan ditemui dalam keadaan berbungkus di dalam selimut tebal dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Prima Damansara di sini petang tadi.

Mangsa, Nor Hidayah Ahmad, 30, yang bekerja sebagai kerani syarikat swasta dan tinggal di situ bersama anaknya yang berusia 6 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, ayah mangsa yang juga pesara telah datang ke rumah mangsa pada pukul 6 petang.

“Ayahnya menghidu bau busuk dan berasa curiga sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

“Pihak polis yang sampai kira-kira pukul 6 petang telah memeriksa rumah itu dan menemui mangsa yang berbalut dalam selimut tebal serta ditimpa timbunan bantal,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian sebentar tadi.

Mohd. Zani menambah, sehingga masa kini pihaknya masih belum mengenal pasti punca kematian sehingga laporan bedah siasat dikeluarkan.

“Difahamkan ketika kejadian, bapa mangsa sedang mengambil anak lelaki mangsa di tadika berhampiran.

“Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk tujuan bedah siasat,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pihak polis kini sedang mengesan bekas suami mangsa, Zulkifli Joned, 40, yang masih menghilangkan diri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut dan bekas suami mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE

(Visited 607 times, 1 visits today)